Eduardo Camavinga, Sikh Izhan Nazrel

Gergasi muda pernah ‘sepasukan’ dengan Camavinga

Jarang-jarang Merah Kuning 24/7 akan membuat liputan mengenai bolasepak luar, tetapi satu perpindahan sensasi baru di benua Eropah menarik perhatian. Ia berkenaan bintang muda Perancis Eduardo Camavinga, yang baru-baru ini ditandatangani gergasi Sepanyol Real Madrid dari Rennes dengan harga €40 juta.

Fakta ini diketengahkan semula oleh pengguna Twitter @arulsamba, atau pun nama sebenarnya Arulchelvan Illenggo, yang merupakan jurulatih kecergasan Negeri Sembilan FC dan juga bekas pemain pasukan itu.

Menurut beliau, pemain tengah itu pernah diundi dalam kesebelasan terbaik sebuah kejohanan bawah umur dengan pemain-pemain muda Selangor FC, penjaga gol Sikh Izhan Nazrel dan pemain tengah Alias Alan. Pertandingan itu adalah 14 Elite Cup Cote D’azur pada tahun 2016, dan Izhan dan Alias menyertainya bersama-sama pasukan B-14 Program Pembangunan Bolasepak Negara atau NFDP. Arulchelvan pada masa itu turut berkhidmat dengan NFDP sebagai jurulatih kecergasan.

Dalam pertandingan itu, pasukan yang dianggotai Izhan dan Alan menamatkan saingan tanpa kalah satu pun perlawanan.

Selepas kejohanan itu, laluan ketiga-tiga pemain ini berbeza. Eduardo Camavinga yang berketurunan Congo mendapat tempat dalam pasukan simpanan Rennes sebelum diserap masuk ke pasukan utama dan beraksi dalam 71 perlawanan Ligue 1. Prestasinya yang memberangsangkan kemudiannya menyaksikan dia mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan Perancis, dan seterusnya menarik minat ‘Los Blancos’.

Bagi Izhan dan Alan pula, selepas menamatkan pengajian dan latihan di NFDP, mereka menyertai pasukan simpanan Selangor bersama-sama ramai lagi ‘kawan-kawan sekolah’ yang lain. Walaupun Alias masih belum mendapat tempat, Izhan semakin menyerlah. Bulan lalu dia melakukan penampilan pertama Liga Super menentang KDA FC, dan diberitakan telah menarik minat kelab-kelab di Eropah untuk memberikannya percubaan. Walau bagaimanapun, dia hanya akan terbang ke luar negara selepas tamat komitmen dengan kelab dan pasukan kebangsaan B-23. Dia kini sepatutnya mengikuti kem latihan di bawah kendalian ketua jurulatih Harimau Muda Brad Maloney, tetapi terpaksa disisihkan akibat cedera di saat-saat akhir.

Sampai masanya nanti, sudah pasti anak-anak muda Gergasi Merah pula yang akan turut memanjangkan langkah ke tahap yang lebih tinggi di luar sana. Jangan dilupa, penyerang sensasi muda negara Luqman Hakim Shamsudin terlebih dahulu singgah di Shah Alam sebelum berhijrah ke Belgium.

Baca juga: Izhan, 9 rakan sepasukan Selangor 2 dipanggil ke kem latihan Malaysia B-23

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.