Lapan Pemain Selangor ke Mongolia

Lapan pemain Selangor disenarai ke kelayakan Piala Asia B-23

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya mengeluarkan senarai akhir pemain-pemain yang akan menyertai Malaysia B-23 ke saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 minggu depan. Menerusi senarai 23 pemain ini, lapan pemain Selangor ke Mongolia di bawah pimpinan ketua jurulatih Harimau Muda, Brad Maloney.

Kredit foto FAM

Mereka adalah Mukhairi Ajmal Mahadi, Harith Haiqal, Sikh Izhan, Zikri Khalili, Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan. Sementara itu, Quenting Cheng yang merupakan pemain pinjaman Merah Kuning ke Penang FC musim ini turut tersenarai, setelah turut melakukan penampilan pertamanya dengan pasukan senior Malaysia baru-baru ini.

Lihat senarai penuh di sini.

Mukhairi dan Harith terlebih dahulu mencetus perebutan di antara FAM dan Selangor FC, apabila khidmat mereka dilihat masih diperlukan bagi baki saingan Piala Malaysia yang akan bersambung pada 30 Oktober ini. Mukhairi yang turut baru mendapat ‘debut’ dengan pasukan senior Malaysia sudah berada dengan skuad Brad, tetapi Merah Kuning 24/7 masih belum dapat mengesahkan sama ada Harith, pemain pertahanan tengah sudah dilepaskan kelab.

Mukhairi telah kerap membuat penampilan dengan pasukan utama Selangor musim ini (dan juga Quentin di Penang), manakala Harith, Izhan dan Zikri pernah membuat sekurang-kurangnya satu penampilan dalam Liga Super. Azrin, Faiz, Fahmi dan Saravanan pula merupakan pemain-pemain pasukan simpanan dalam Liga Premier.

Pasukan Malaysia B-23 tahun bakal berlepas ke Mongolia pada Rabu, 20 Oktober dan di sana mereka akan berhadapan dengan Laos pada 25 Oktober 2021 (3.00 petang) diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober 2021 (11.00 pagi) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi) bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Selamat berjaya kita ucapkan kepada skuad Harimau Muda dan juga pemain Selangor ke Mongolia, dan diharapkan Gergasi Muda ini dibenarkan kembali ke pangkuan kelab serta-merta setelah saingan kelayakan tamat, bagi membantu dalam kempen Piala Malaysia.

Sayangnya, keputusan ini turut menyingkirkan empat pemain-pemain muda Selangor yang telah dipanggil ke latihan pusat Malaysia B-23, iaitu Firdaus Irman Fadhil, Khairi Suffian Khaineyusri, Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan.

Diharapkan kekecewaan mereka akan terubat menerusi kemungkinan beraksi dengan pasukan-pasukan B-19 dan B-21 Selangor dalam Elite Youth Series 2021 di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada hujung bulan ini. Mereka akan berhadapan dengan pasukan-pasukan muda AMD dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.