Rusdi Suparman mahu hasilkan

Pemain muda mulakan pengajian, Chang genggam diploma

Seramai lapan orang pemain Selangor mulakan pengajian baru-baru ini, menurut pendedahan kelab.

Mereka yang terdiri dari pemain-pemain pasukan simpanan di Liga Premier, pasukan Piala Presiden (B-21) dan Piala Belia (B-19) dilaporkan baru memulakan pengajian di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara, Shah Alam pada bulan ini.

Pemain-pemain ini adalah Syahmi Adib, Haziq Zaki, Azrin Afiq Rusmini, Haiqal Haqeem, Adim Muzahhir, Amirul Haziq, Syaizwan Saide, dan Akmal Izzudin yang kesemuanya berusia 18 tahun kecuali Azrin, 19 tahun. Mereka menyambung pelajaran peringkat universiti menerusi kursus yang dirangka khas untuk atlet-atlet.

Haziq Zaki, yang mendapat 6A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambilnya tahun lalu, menyatakan yang penekanan terhadap bidang akademik ini telah diterapkan dari semasa beliau berlatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) lagi.

“Saya ambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat diploma sebagai menampung kerjaya bolasepak. Dari di AMD mereka galakkan kami kekal belajar, manakala ibu bapa saya mahukan saya tumpu kepada kedua-dua bidang sukan dan pelajaran.

“Memang kena korbankan masa, dan jarang dapat melepak dengan kawan-kawan,” jelasnya kepada penulis.

Keperluan membahagikan masa ini lebih kuat bagi mereka yang mempunyai tanggungjawab tambahan bersama pasukan Malaysia B-23 kini, seperti Azrin.

“Bagi saya ia sedikit sukar tapi ia boleh dilakukan kerana saya hanya bersama skuad kebangsaan sebulan dan semester ini hanya belajar ‘online class’. Jika saya tidak dapat hadiri kelas tersebut akibat latihan saya akan hubungi pensyarah. Hal ini juga boleh diatasi dengan membaca nota yang disediakan atau melihat semula rakaman yang di rakam oleh lecturer. Selain itu, saya juga boleh menghubungi rakan sekelas saya tentang aktiviti apa yang dilakukan semasa kelas.

“Selangor malah menggalakkan pemainnya untuk belajar kerana mereka pun tahu bahawa bermain bola sepak ini tidak berpanjangan. Mungkin suatu hari nanti pemain-pemain dapat membantu kelab, sebagai contoh dalam bidang sains sukan. Apabila pemain sudah bersara mereka dapat menjadi ahli sains sukan Selangor,” jawab pemain pertahanan ini.

Di samping pemain-pemain Selangor mulakan pengajian, dalam tahun-tahun kebelakangan ini enam pemain telah memulakan pengajian universiti, dengan tiga dari mereka telah pun bergraduasi. Malah salah seorang dari mereka merupakan anggota pasukan utama, iaitu Ahmad Danial Asri.

Menurut apa yang diberitahu kepada penulis, Danial tahun lalu dilihat bertungkus lumus menyiapkan kerja kursus selepas sesi latihan bersama pasukan, bagi memastikan dia dapat menamatkan pengajian. Tidak mengejutkanlah yang sikap berdedikasinya ini turut membantunya naik pangkat ke pasukan utama musim ini, untuk mengutip 22 penampilan dan tiga gol.

Tahniah kita ucapkan kepada anak-anak muda dan bakal bintang Selangor FC ini.

Artikel ini diolah semula dari penulisan pengarang sendiri, yang pertama kali diterbitkan di laman sesawang Selangor FC. Perakuan: Penulis juga telah diberi tanggungjawab oleh kelab untuk menulis beberapa artikel bagi pihak mereka bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.