Piala Belia Presiden

Pembinaan semula Selangor terjejas, Piala Belia, Presiden batal lagi

Walaupun hari ini, Selasa 31 Ogos merupakan tarikh istimewa di negara ini kerana ianya Hari Merdeka, kita semua sebaliknya menerima satu ‘hadiah’ yang tak diingini. Setelah lama tanpa adanya sebarang perkembangan, hakikatnya kini diketahui, Piala-piala Belia Presiden 2021 tidak akan dilangsungkan.

Tonton: Video – Stadium MBPJ semarakkan Hari Merdeka

Menerusi sebuah pengumuman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disiarkan di laman sesawang mereka, persatuan itu mengumumkan pembatalan penganjuran Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21), atas alasan tiada kebenaran kerajaan untuk dilangsungkan semasa wabak Covid-19.

“Keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat β€˜lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“FAM juga merasakan keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan dalam pada masa yang sama member lebih ruang kepada pasukan-pasukan untuk membuat persediaan bagi menghadapi Pertandingan yang sama untuk tahun 2022 yang dijangka bermula seawal Februari.”

Keputusan ini berlawanan dengan keyakinan yang disuarakan presiden FAM, Datuk Wira Hamidin Amin pada penghujung tahun lalu bahawa pertandingan-pertandingan bolasepak akan dapat dijalankan. Dia juga masih menjawat jawatan pengerusi penganjur liga Malaysian Football League pada ketika itu.

Berita ini sudah pastinya mendukacitakan pendukung-pendukung industri bolasepak negara ini. Dua tahun tanpa pertandingan tahap tertinggi peringkat bawah umur negara (yang sejujurnya tidak pun pernah dijalankan dengan sempurna), bermakna sukan nombor satu negara ini ketinggalan dua tahun dalam kegiatan pembangunan berbanding di negara-negara lain. Pertandingan-pertandingan ini turut dibatalkan pada tahun 2020.

Gergasi Merah sudah pastinya turut terjejas dengan pembatalan Piala Belia Presiden ini, bilamana mereka sedang menjalankan proses pembinaan semula di bawah pentadbiran pengerusi kelab; Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin. Salah satu aspek yang sedang diberi tumpuan oleh kelab adalah pembangunan pemain-pemain muda. Di samping kedua-dua piala ini, penganjuran dan promosi ‘soccer schools’ mereka, yang dilancarkan pada 2019, di seluruh negeri turut terbantut atas sekatan-sekatan MKN.

Ada juga desas-desus di Twitter bahawa keputusan FAM ini merupakan tindakan ‘ambil mudah’ kerana persatuan-persatuan di bawah FAM tidak perlu mengeluarkan belanja untuk bertanding. Jika ini betul, ia tidak mengejutkan kerana diketahui yang ramai pentadbir bolasepak negara ini hanya menjalankan kerja senang!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.