7500 di Stadium MBPJ

Akhirnya penyokong dapat ke stadium semula!

Walaupun Merah Kuning 24/7 menjangkakan yang penganjur pertandingan-pertandingan dalam negara, Malaysian Football League (MFL) akan mengambil sedikit masa untuk mengumumkannya, rupanya kami salah. Pada Khamis, 30 September, ia mengumumkan yang penyokong dapat ke stadium semula tidak lama lagi.

Kredit foto utama Selangor FC

Kebenaran ini akan berjalan mulai dari hari perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia, dalam tempoh sebulan lagi.

“Selepas penyokong tidak dibenarkan masuk sejak 9 Mei 2021 akibat lonjakan kes COVID-19 di negara ini, Inilah perkhabaran gembira yang ditunggu-tunggu oleh kita semua khususnya penyokong-penyokong yang amat merindukan aksi bola sepak di stadium. Apatah lagi dalam suasana ketika kita semua meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung.

“Sudah pasti setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) kerana membuka semula sekatan penyokong untuk kembali ke stadium serta acara-acara sukan yang lain selepas sekian lama venue kita cukup sepi tanpa kehadiran penyokong yang turut memberi impak kepada kelangsungan ekonomi dalam sektor sukan tanah air,” kata Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini dilakukan selepas sehari kerajaan Malaysia mengumumkan kelonggaran selanjutnya bagi sektor sukan dan rekreasi semasa tempoh pandemik Covid-19.

“Lebih banyak kelonggaran diberikan kepada negeri Fasa 2, 3 dan 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membabitkan kebenaran majlis rasmi kerajaan, swasta.

“Selain itu, turut dibenarkan ialah pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan serta rekreasi,” jelas kenyataan Perdana Menteri Malaysia seperti yang dipetik dari Berita Harian.

Namun kebenaran ini masih hadir dengan syarat-syarat yang ketat. Antaranya adalah hanya penyokong yang sudah menerima dua dos vaksin lengkap dan berusia 18 tahun ke atas dibenarkan hadir, dan juga larangan aktiviti makan dan minum semasa di stadium.

MFL juga masih belum memuktamadkan peratusan kapasiti maksimum stadium yang dibenarkan, menurut fasa-fasa pemulihan yang ditetapkan kerajaan Malaysia. Turut akan dibincangkan nanti adalah kebenaran penyokong dapat ke stadium bagi perlawanan-perlawanan persahabatan.

Buat masa ini, kawasan Lembah Klang termasuk negeri Selangor berada dalam fasa ketiga PPN, sedang jumlah kematian dan jangkitan baru disebabkan Covid-19 semakin turun di seluruh negara.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.