Bintang muda Selangor panjangkan

Perlawanan kompetitif Selangor saja dihadiri penyokong, jelas Johan

Selepas pengumuman Malaysian Football League (MFL) tempoh hari mengenai kapasiti penyokong yang dibenarkan masuk ke stadium bagi baki kempen Piala Malaysia, sudah pasti penyokong Selangor masuk stadium juga apabila pertandingan ini bersambung 29 Oktober nanti.

Menerusi pengumuman MFL itu, dijangkakan yang Selangor FC boleh membawa masuk maksimum 7,500 penyokong bagi perlawanan-perlawanan mereka di Stadium MBPJ. Malah kelab-kelab juga dibenarkan mula membawa penyokong masuk bagi perlawanan-perlawanan persahabatan yang dijalankan dalam tempoh rehat Piala Malaysia ketika ini.

Dalam sebuah perbualan telefon dengan Merah Kuning 24/7, ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab Johan Kamal Hamidon menjelaskan dengan lebih mendalam lagi perancangan kelab bagi kepulangan penyokong ke Stadium MBPJ nanti.

“Buat masa ini kami hanya akan menumpukan kepada perlawanan rasmi kerana kami mahu membuat perancangan secara rapi dan tak mahu terburu-buru. Dijangka maksimum 7,000 sehingga 7,500 penyokong boleh masuk.

“Harga dan cara penjualan tiket pula sama dengan apa yang kami telah lakukan pada awal tahun ini,” jawab Johan pada Rabu lalu.

Kelab-kelab Liga Super sempat membenarkan penyokong mereka hadir ke stadium awal musim ini dari minggu perlawanan kelima hingga ke minggu keduabelas, sebelum perlawanan terpaksa dilangsungkan tanpa penyokong semula akibat jumlah kes Covid-19 yang kembali meningkat di seluruh negara pada masa itu.

Pada masa itu, Selangor menjual tiket secara dalam talian dengan harga tiket RM25 dan RM30 bergantung kepada perlawanan, dan ini dipercayai akan dilakukan semula kelab nanti.

Selain dari isu penyokong Selangor masuk stadium, kami sempat bertanyakan juga mengenai inisiatif kelab yang meminta penyokong yang telah membeli pas bermusim 2020 untuk melepaskannya tanpa pemulangan wang atau gantian pas musim 2022, dengan balasan peluang membeli jersi Selangor ekslusif musim 2022 yang akan turut terselit nama-nama mereka. Menerusi kempen ini, jersi ini hanya boleh dimiliki penyokong yang melepaskan pas mereka.

Pemegang-pemegang pas bermusim 2020 hanya sempat menggunakannya bagi beberapa perlawanan sebelum wabak Covid-19 menular di seluruh dunia dan saingan Liga Malaysia terganggu. Namun apabila musim 2021 bermula, kelab membuat keputusan untuk menggantikan pas 2020 mereka tadi hanya pada musim 2022, kerana musim 2021 bermula tanpa penyokong dan masih dibelenggu ketidaktentuan akibat Covid-19.

“Alhamdulillah, ramai pemegang pas bermusim 2020 telah memberi sambutan baik, sekitar 65 ke 70 peratus. Kami berterima kasih kepada peminat yang mahu melepaskan pas mereka, menjadi sebahagian dari sejarah, dan juga sentiasa mahu membantu kelestarian kelab. Rekaan jersi itu sesuatu yang sukar secara jujurnya, kerana kami mahukan produk yang setimpal dengan kemurahan hati penyokong, dan kami berharap semua orang akan berpuas hati dengan hasilnya nanti.

“Tujuan kami sebenarnya adalah untuk mengumpulkan dana bagi perkara tertentu, yang belum boleh saya dedahkan lagi. Kami kini beroperasi sebagai sebuah syarikat dan perlukan wang untuk melabur dalam perusahaan-perusahaan kami. Kami tak boleh lagi mencari wang hanya untuk dihabiskan bagi menampung kos operasi, jadi kami menjalankan inisiatif seperti ini demi kelangsungan kelab. Ia juga adalah cara yang baik bagi penyokong untuk turut terlibat dengan usaha ini, dengan cenderamata istimewa (jersi ekslusif 2022) sebagai ganjarannya,” jelas pegawai kelab ini.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.