Perpindahan K. Sarkunan

Perpindahan Sarkunan tutup buku ‘budak-budak Maniam’

Walaupun terlebih dahulu dilaporkan bahawa pemain tengah, Sarkunan Krishnansamy akan kekal bersama Selangor FC, pada Selasa 14 Disember diumumkan yang pemain ini akan berhijrah ke Negeri Sembilan FC pada musim depan, dipercayai sebagai pemain pinjaman. Perpindahan K Sarkunan menyaksikan tamatnya satu bab dalam sejarah Gergasi Merah, yang menyaksikan sekumpulan anak-anak remaja terpaksa segera didewasakan dalam bolasepak peringkat senior.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia

Puncanya bermula dari penghujung tahun 2016, hanya setahun selepas Selangor memenangi Piala Malaysia ke-33 dan beberapa bulan selepas muncul sebagai finalis Piala Malaysia tahun itu.

Selangor FC yang ketika itu masih beroperasi sebagai sebahagian dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui pertelagahan dalaman. Percakaran ini menyebabkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Azmin Ali merangkap presiden FAS, dan exco belia dan sukan negeri, Amirudin Shari (kini Menteri Besar Selangor) yang menjawat jawatan pengurus pasukan utama meletakkan jawatan dalam FAS. Akibatnya, kerajaan negeri cuci tangan dari penglibatan dan pemberian dana.

Datuk Seri Subahan Kamal dilantik sebagai presiden dengan tanggungjawab memimpin persatuan tanpa dana negeri, jadi beberapa keputusan berani terpaksa diambil. Antaranya adalah pelantikan bekas pemangku jurulatih Selangor, Maniam Pachaiappan sebagai ketua jurulatih.

Maniam yang juga bekas ketua jurulatih pasukan muda Gergasi Merah membawa naik beberapa pemain-pemain skuad Piala Presiden (bawah 21) ke pasukan senior bagi musim 2017. Mereka adalah Namathevan Arunasalam, Kannan Kalaiselvan, Faizzudin Abidin, Badrul Amin Rusalan, Syahmi Safari, Amirul Ashraf Ariffin dan Sarkunan sendiri.

Pada tahun berikutnya lebih ramai anak-anak muda dinaikkan pangkat iaitu Tamil Maran Manimaran, Kugan Dhevarajan, Azizul Baharudin, Haziq Ridwan, Amirul Haziq Rasmizal dan Syukri Azman.

Pemain-pemain muda ini mendapat banyak peluang beraksi di sebalik situasi menyedihkan yang dilalui pasukan dalam dua musim ini, seperti ketiadaan gelanggang sendiri yang tetap kerana keengganan kerajaan negeri membenarkan pasukan menggunakan Stadium Shah Alam dan juga cubaan-cubaan persatuan untuk masih mendapatkan dana dari kerajaan.

Syahmi, Namathevan, Kannan dan Kugan antara mereka yang kerap dapat bermain; jika tidak sebagai kesebelasan utama, sebagai pemain gantian atau giliran kepada pemain-pemain berpengalaman seperti Razman Roslan, Forkey Doe, Amri Yahyah, Rufino Segovia dan Bunyamin Umar.

Dalam kedua-dua musim ini prestasi pasukan agak hambar, menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima dan keenam, dan hanya pergi sejauh peringkat suku akhir dalam Piala Malaysia. Mungkin nasib Selangor lebih buruk jika tiadanya jaringan-jaringan yang dihasilkan Rufino, yang boleh dianggap sebagai perolehan pemain terbaik Selangor bagi dekad itu.

Namun itu tidak bermakna yang langsung tiada bibit-bibit menggembirakan. Gergasi Merah masih sempat muncul di final Piala FA 2018 sebelum tumpas 2-0 kepada Pahang, manakala pemain-pemain muda ini memenangi Piala Presiden 2017, 2-1 secara agregat ke atas Terengganu.

Namun pemecatan Maniam selepas beberapa minggu musim 2018 berjalan, dan seterusnya pertukaran presiden dari Subahan kepada Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin pada tahun yang sama, menandakan permulaan bagi penamat era ‘budak-budak Maniam’.

Selangor tidak perlu lagi bergantung kepada terlalu ramai pemain-pemain muda, jadi di penghujung musim 2018 beberapa dari mereka dilepaskan. Antaranya adalah Azizul, Badrul dan Kugan.

Dalam tempoh dua musim selepas itu, ada juga antara mereka yang dipinjamkan ke pasukan-pasukan lain, dan tidak disambung semula kontrak mereka setelah tamat seperti Kannan, Syukri, Amirul dan Faizzudin.

Namun ada juga yang telah melakukan ‘reunion’ di Petaling Jaya City, bersama-sama Maniam dan Subahan yang kini menjawat jawatan presiden kelab itu. Agak melucukan yang dalam pertembungan terbaru Selangor dengan PJ City pada 12 September tahun ini, dalam pusingan terakhir liga, Kugan dan Kannan membantu Sang Phoenix menewaskan Gergasi Merah 2-1. Malah Maniam juga kini kembali mendapat perhatian kerana memimpin PJ City kekal dalam Liga Super sebagai satu-satunya pasukan yang 100 peratus dibarisi pemain tempatan.

Tahun 2021 dilihat sebagai tahun terakhir ‘budak-budak Maniam’ di Selangor, yang hanya tinggal tiga orang. Setelah tamat musim, Namathevan dan Syahmi diumumkan akan meninggalkan pasukan setelah melakukan 72 dan 113 penampilan masing-masing. Paling baru adalah perpindahan K Sarkunan, yang telah mengumpul 52 penampilan untuk pasukan utama Selangor. Walaupun ia mungkin perpindahan pinjaman, dari apa yang berlaku terhadap rakan-rakannya sebelum ini, kami tidak menjangkakan yang pemain berusia 25 tahun ini akan kembali beraksi dengan Selangor.

Di mana pun mereka berada kini, sama ada masih bermain atau pun tidak, jasa ‘budak-budak Maniam’ semasa zaman susah Selangor tidak akan dilupakan penyokong, dan kita mengucapkan selamat berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.