Perpindahan Syahmi Safari

Perpindahan Syahmi dijelaskan CEO Selangor

Setelah hangat diura-urakan mengenai perpindahan bintang Selangor FC Syahmi Safari sejak beberapa minggu, akhirnya kelab telah mengesahkannya secara rasmi pada Khamis, 25 November. Bagi penyokong-penyokong Gergasi Merah yang pastinya kecewa dengan pemergian pertahanan kanan ini, situasi perpindahan Syahmi dijelaskan oleh CEO kelab, Johan Kamal Hamidon kepada Merah Kuning 24/7.

Kredit foto Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Dalam satu perbualan telefon, Johan menyatakan yang pemain yang mempunyai baki kontrak dua tahun itu tidak meninggalkan kelab secara percuma.

Pemain kebangsaan Malaysia itu sebelum ini dilaporkan akan meninggalkan Selangor untuk menjadi ‘free agent’ ataupun pemain bebas.

“Kami tidak melepaskannya secara percuma dan jumlah pampasan itu kami rasa adil dan boleh digunakan untuk dilaburkan semula ke dalam program pembangunan bola sepak Selangor. Lebih baik lagi, wang pampasan ini telah pun dibayar secara penuh.

“Kami juga akhirnya bersetuju melepaskan Syahmi kerana Quentin Cheng (pertahanan kanan yang dipinjamkan ke Penang FC pada musim 2021) telah kembali. Ia satu langkah strategik yang turut membantu kewangan pasukan,” jelasnya.

Jelas sekali walaupun kehilangan pemain berstatus bintang ini bukan satu situasi yang ideal buat kelab, ia merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang boleh diambil Gergasi Merah tanpa mengalami kerugian.

Muncul dalam peringkat senior buat kali pertama pada musim 2017 pada usia 19 tahun (terima kasih kepada usaha bekas jurulatih pasukan muda dan pasukan utama P. Maniam), Syahmi meledak menerusi reputasi ‘utility player’ yang gemar menyerang di sayap kanan dan ada kemampuan menjaringkan gol. Penampilan dengan Selangor kemudiannya menghadirkan penampilan dengan pasukan kebangsaan Malaysia di peringkat muda dan senior.

Pemain yang berasal dari Kuala Selangor ini telah melakukan lebih 100 penampilan senior dan menjaringkan 10 gol Liga Super bersama Gergasi Merah.

Namun perpindahan Syahmi Safari dijangka bakal membolehkan Quentin mendapat tempat dalam kesebelasan utama Selangor, setelah menampilkan peningkatan di Pulau Mutiara sepanjang musim 2021.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.