Persiapan Selangor berjalan baik

Persiapan Selangor berjalan baik, jelas Michael

Liga Super Malaysia 2022 hanya tinggal dua minggu untuk bermula, dan Selangor FC turut melakukan persediaan bagi menghadapi musim baru dan menampilkan peningkatan. Menurut ketua jurulatih pasukan utama dan pengarah sukan kelab Michael Feichtenbeiner, persiapan Selangor berjalan baik, seperti yang dipetik dari laman sesawang rasmi kelab.

Kredit foto Selangor FC

“Jurulatih-jurulatih dan pemain mendapat masa yang cukup untuk membuat persediaan sebelum liga bermula. Pasukan mempunyai lebih banyak masa bersama untuk pemain-pemain tempatan dan import baharu menyesuaikan diri dengan baik dan membina hubungan baik dengan rakan sepasukan yang lain.

“Penambahan pemain terkini dalam skuad tahun ini seperti Samuel Somerville, Fazly Mazlan, Zahril Zabri, Syahir Bashah, Yazan Al-Arab, Baha‘ Abdelrahman, Herlison Caion dan Hyuri Henrique telah menunjukkan saingan yang baik sepanjang sesi latihan yang kami kendalikan.

“Semuanya berada di landasan yang tepat untuk persiapan pasukan tetapi untuk bulan ini agak berbeza kerana empat pemain muda pasukan utama sedang mewakili negara untuk Kejuaraan B-23 AFF 2022. Mereka adalah pemain penting dari segi ‘squad depth’ pasukan utama, jadi kami terpaksa mengubah beberapa rancangan bagi melepaskan mereka untuk negara, tetapi semuanya masih dalam keadaan terkawal,” jelas pengendali dari Jerman ini.

Namun kenyataan Michael mengenai pemain-pemain muda yang menyertai Malaysia B-23 ini sudah pasti mengundang kehairanan. Seperti yang disuarakan Merah Kuning 24/7 minggu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu memanggil Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Zikri Khalili, Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar dan kelab tidak wajib melepaskan mereka.

Kini perancangan persediaan pra-musim yang telah disusun Michael terpaksa diubah demi sesuatu yang tidak penting, dan dalam hal Zikri, ia terbukti menyusahkan.

FAM menyatakan yang pertahanan kiri itu dipanggil biarpun diketahui tercedera, dan kemudiannya dihantar pulang dari Kemboja di saat akhir kerana tidak sempat pulih dari kecederaan itu. Kemudiannya menurut pengumuman kelab pula, Zikri terpaksa menjalani kuarantin Covid-19 selepas pulang ke Malaysia terlebih dahulu sebelum boleh diperiksa doktor pasukan dan menjalani pemulihan.

Namun dalam isu berlainan, dapat dihidu bahawa Michael semakin yakin yang persiapan Selangor berjalan baik sepanjang tempoh pra-musim. Selepas merekodkan beberapa kemenangan dalam aksi persahabatan, mereka akan berhadapan dengan Terengganu FC Sabtu ini, pasukan sama yang menumpaskan mereka dalam kesemua empat perlawanan musim lalu.

Mungkin disebabkan keyakinan ini, kelab berani membuka perlawanan ini kepada tontonan awam di Stadium MBPJ dan juga secara penstriman langsung, apabila mereka selalunya lebih gemar mengatur aksi-aksi persahabatan secara tertutup.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.