pertukaran strategi bantu Danial

Pertukaran strategi bantu Danial pamerkan persembahan cemerlang

Sabtu lalu, Selangor FC merekodkan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Kuching City dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, dengan pemain penyerang Danial Asri mempamerkan aksi lima bintang. Menurutnya, pertukaran strategi bantu Danial membawa pasukan ke jalan kemenangan.

Kredit foto Malaysian Football League

Dalam perlawanan itu, pemain berusia 21 tahun ini mengutip dua gol (60′, 80′) dan terlibat dalam gol-gol yang dijaringkan Hein Htet Aung (1′) dan Safuwan Baharudin (p. 66′). Gol terakhir pasukan tuan rumah di Stadium MBPJ dijaringkan oleh Sean Selvaraj (90+4′), manakala gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Michael Ijezie (p. 11′)

“Saya bersyukur yang jurulatih beri saya peluang berada dalam kesebelasan utama. Jadi saya buat betul-betul, dan bangga dapat jaringkan dua gol. Ia bukan sesuatu yang mudah.

“Dalam separuh masa pertama saya banyak duduk di atas dan ia menyukarkan keadaan, jadi rakan-rakan bagi cadangan untuk tukar strategi. Selepas rehat saya banyak buat larian dari bawah dan susahkan pertahanan, yang berjaya membuahkan dua gol,” jelas beliau selepas perlawanan tempoh hari.

Buat pertama kali, anak muda ini diberi peluang bermain sebagai penyerang utama, disebabkan ketiadaan pemburu gol kebiasaan Gergasi Merah Ifedayo Olusegun yang direhatkan kerana kecederaan ringan. Danial tidak menafikan yang persembahan baiknya akan memncetuskan persaingan yang sihat.

“Saingan di bahagian serangan memang positif sekarang. Kita ada Ifedayo, Shahrel dan saya, semuanya bagus, tapi dengan ketiadaan Ifedayo saya dapat peluang untuk berikan yang terbaik.”

Sepanjang musim ini, musim pertamanya dengan pasukan utama secara rasmi, dia telah melakukan 21 penampilan dan tiga gol dalam Liga Super, dan terbaru dua gol dari dua penampilan dalam Piala Malaysia. Merah Kuning 24/7 bertanyakan kepadanya; adakah dia mengidamkan aksi bersama pasukan kebangsaan Malaysia?

“Saya kena berusaha lagi sebab saya tahu posisi ‘striker’ adalah peranan yang sukar untuk dimenangi; harus konsisten mendapatkan gol dan membantu pasukan. Insya Allah saya akan terus berusaha dan lihat kalau ada rezeki.”

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.