Piala Cabaran dibatalkan

Duka 2021 berlarutan apabila Piala Cabaran dibatalkan

Wabak Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia telah turut membawa kesan yang buruk terhadap industri bolasepak Malaysia dalam tempoh hampir dua tahun ini. ‘Mangsa’ terbaru, Piala Cabaran dibatalkan bagi tahun 2021.

Kredit foto utama Zulhilmi Zainal/Goal

Perkembangan terbaru ini didedahkan sumber Merah Kuning 24/7 yang menghubungi penulis. Menurutnya, keputusan ini dilakukan dalam sebuah mesyuarat di antara pengendali pertandingan, Malaysian Football League (MFL) dan ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) pasukan Liga Premier.

Atas sebab-sebab privasi, sumber ini tidak mahu menyatakan butir-butir keputusan secara terperinci, tapi menjelaskan yang keputusan pembatalan ini dibuat secara bersama disebabkan kenaikan kos-kos perjalanan, penginapan dan SOP pasukan bertanding yang terpaksa ditanggung kelab-kelab dengan bajet terhad dalam situasi pandemik.

Setakat tengahari Selasa, 14 September, masih belum ada pengumuman rasmi yang dikeluarkan mana-mana pihak berkenaan berkenaan Piala Cabaran dibatalkan. Namun begitu, pada hari yang sama, pihak Amateur Football League (AFL) mengumumkan pembatalan divisyen tiga Malaysia, Liga M3 yang dianjurkan mereka.

Piala Cabaran atau Challenge Cup merupakan kejohanan bersifat ‘post-season’ yang mula dipertandingkan pada tahun 2018 bagi pasukan-pasukan divisyen satu dan dua Malaysia yang tidak layak ke Piala Malaysia. Edisi pertama dimenangi Terengganu FC II manakala tahun seterusnya dijuarai JDT 2.

Keputusan ini turut menyaksikan pasukan simpanan Selangor FC, Selangor 2 belum pernah dapat beraksi dalam pertandingan ini. Tahun pasukan ini ditubuhkan, 2020 turut menyaksikan pertandingan ini dibatalkan. Piala Malaysia tahun itu hanya sempat berjalan sepusingan sebelum turut dibatalkan. Namun Piala Malaysia tahun ini, tahun keseratus pertandingan, dijadualkan akan berlangsung dengan undian dilakukan pada Rabu, 15 September.

Pengumuman ini pasti lebih merencatkan kerja-kerja pembangunan bolasepak Malaysia secara umumnya, dan Selangor secara khusus. Pembangunan semula kelab di bawah kepimpinan pengerusi, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin yang berteraskan pembinaan bakat-bakat muda terjejas dengan ketiadaan aksi-aksi kompetitif di peringkat senior selain Liga Premier.

Bukan sahaja Selangor 2 yang terjejas, tetapi pasukan B-21 dan B-19 kini turut tiada hala tuju apabila baru-baru ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan pertandingan kebangsaan peringkat bawah umur; Piala Presiden dan Piala Belia.

Baca juga: Pembinaan semula Selangor terjejas, Piala Belia, Presiden batal lagi

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.