Selangor Mac bakal sertai Piala Futsal AFF 2021

MPFL tak nampak bayangan, Selangor MAC bakal sertai kejohanan serantau

Situasi sukan negara nampak masih samar-samar disebabkan wabak Covid-19, dan ini turut memberi kesan terhadap sukan futsal. Baru setahun saja dapat dipertandingkan pada tahun 2019, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) kini ‘tersadai’ akibat pandemik itu. Bagi musim 2020, hanya satu pusingan pertandingan dapat dijalankan sebelum ia ditangguhkan, dan seterusnya dibatalkan terus. Pasukan-pasukan futsal negara juga ibarat digantung tak bertali, termasuklah juara musim pertama liga itu, Selangor MAC. Namun mungkin ada sedikit sinar buat pasukan futsal di bawah naungan Selangor FC ini, apabila dilaporkan yang mereka telah layak menyertai Piala Futsal AFF 2021 yang bakal dilangsungkan di Korat, Thailand dari 12 hingga 18 September akan datang.

Menurut satu muatnaik yang mereka kongsikan di laman Facebook pasukan, mereka akan menyertai kejohanan itu bersama-sama empat pasukan lain. Menurut Arena Futsal pula, pasukan-pasukan ini adalah Port Futsal Club sebagai tuan rumah dan Freefire Bluewave Chonburi, kedua-duanya dari Thailand, Mohahang All-Star FC dari Kemboja, dan juga naib johan MPFL 2019 Pahang Rangers.

Tahniah diucapkan kepada MAC kerana berjaya mendapat jemputan ke Piala Futsal AFF 2021, dan harap-harapnya mereka dapat menyertai kejohanan ini.

Di samping itu, penyokong Merah Kuning sudah pasti turut mengharapkan MPFL bahagian lelaki dan wanita turut dapat dijalankan semula tahun ini, biarpun kita baru saja menerima berita mendukacitakan mengenai dua pertandingan yang dikelolakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pada 31 Ogos, kebetulannya Hari Merdeka, FAM mengumumkan pembatalan Piala Belia dan Piala Presiden, kejohanan tertinggi peringkat B-19 dan B-21 negara dengan alasan tidak mendapat kebenaran kerajaan semasa wabak Covid-19. Namun begitu, sehingga kini masih belum kedengaran status MPFL dan juga Piala Tun Sharifah Rodziah bagi tahun 2021.

Baca juga: Pembinaan semula Selangor terjejas, Piala Belia, Presiden batal lagi

Berbalik kepada MAC, kita mengharapkan yang mereka bukan sahaja dapat berangkat ke Thailand untuk menyertai kejohanan edisi keenam ini, malahan turut dapat beraksi dengan baik dan seterusnya mengharumkan nama Selangor di peringkat antarabangsa. Ia bukan mudah tapi ianya tak mustahil!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.