4,500 di Stadium MBPJ

Ayuh pergi Asia bossku, rangkul Piala Malaysia 2021!

Pengumuman yang dibuat penganjur pertandingan, Malaysian Football League (MFL) pada Sabtu lalu mengesahkan yang Gergasi Merah harus memenangi Piala Malaysia 2021. Itu pun kalau mereka memang serius mahu layak ke peringkat Asia.

Pada 28 Ogos, presiden MFL yang baru dilantik Dato’ Ab Ghani Hassan membuat kenyataan mengenai slot-slot pertandingan peringkat benua bagi tahun 2022 yang ditawarkan kepada kelab-kelab Malaysia. Menurutnya, juara Liga Super musim ini akan mendapat slot automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2022, manakala naib juara liga dan pemenang Piala Malaysia setiap satunya akan layak ke peringkat kumpulan Piala AFC pada musim akan datang.

Walaupun jika tidak silap penulis pada awal musim ada diperkatakan yang tiga tempat kelayakan ini hanya akan diberikan kepada tiga pasukan teratas liga, pengesahan ini sudah pasti menguntungkan Merah Kuning jika dilihat dari situasi semasa.

Anak-anak buah Karsten Neitzel yang kini berada di tangga kelima liga dilihat terpaksa berhempas pulas untuk menaiki carta, malah sekadar mampu seri 1-1 di tempat sendiri menentang Melaka United pada hujung minggu lalu. Jangankan naik ke tempat kedua, ke tempat ketiga pun belum pasti dapat.

Baca juga: Apa yang kita lihat dalam pertemuan Selangor-Melaka

Jadi, pasukan dan penyokong-penyokong pasti gembiar mendengar pengumuman MFL ini, kerana ia memberikan mereka satu peluang baru untuk layak ke Asia, selepas kali terakhir melakukannya di musim 2014, dalam Piala AFC.

Pengendali dari Jerman itu perlu bermula mempersiapkan skuadnya buat Piala Malaysia 2021. Dia harus memastikan yang anak-anak buahnya bermain baik dari permulaan pertandingan, dan tidak longlai pada awalnya. ‘Cencaru makan petang’ bukanlah satu peribahasa yang boleh digunakan sebagai pujian lagi dalam era bolasepak moden.

Pemain-pemain muda telah pun diberi peluang secukupnya untuk mendapatkan minit permainan dalam saingan liga dan tidak dinafikan yang keberanian ini dipuji ramai pihak, tetapi dalam pertandingan bersifat ‘playoff’ ini nanti, ada baiknya Karsten menurunkan pemain-pemain terbaik yang beliau ada dalam setiap perlawanan. Jangan simpan-simpan lagi. Inilah peluang terbaik untuk Gergasi Merah, finalis edisi pertama Liga Juara-Juara AFC pada 1967 (dahulunya Kejohanan Kelab-Kelab Juara Asia) untuk kembali ke Asia!

Bayangkan juga dapat mengangkat trofi Piala Malaysia pada ulangtahunnya yang keseratus, sebagai pasukan yang paling kerap menjuarainya (33 kali). Sudah pasti ia akan menjadi satu lagi momen bersejarah buat Selangor, dalam salah satu pertandingan bolasepak tertua Asia ini.

Piala Malaysia

Kredit foto Zulhilmi Zainal/Goal

Namun yang ralatnya adalah kemungkinan masih tiada penyokong dibenarkan hadir ke stadium bagi kejohanan ini, disebabkan Covid-19. Menarik untuk dilihat jika penyokong paling vokal Selangor, Ultrasel akan hadir ke stadium. Dalam tahun-tahun sebelumnya, mereka memboikot pertandingan ini, menyifatkan ia sebagai menang sorak semata-mata tanpa membawa pasukan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ayuh pergi Asia, bossku!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.