Preview KLC lwn Selangor

Preview KLC lwn Selangor: Pertembungan rekod dalam ujian terakhir Karsten

Nasi sudah menjadi bubur apabila aksi longlai anak-anak buah Karsten Neitzel menyaksikan Selangor FC tumpas 2-0 di laman sendiri Kuala Lumpur City (KLC) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia Ahad lalu. Tiada banyak informasi yang boleh ditambah lagi dalam preview KLC lwn Selangor bagi aksi suku akhir kedua, selain meneliti satu rekod Gergasi Merah musim ini yang mungkin merupakan petunjuk sebenar kewibawaan pengendali dari Jerman ini.

Kredit foto Selangor FC

Percaya pada diri sendiri

Kita tahu potensi yang sememangnya dimiliki skuad ini menerusi pemain-pemain yang mereka, walaupun ia jarang-jarang diterjemahkan dalam aksi sebenar. Selepas kekalahan Ahad lalu, Karsten menyatakan yang kemenangan hanya boleh diperolehi dalam aksi kedua jika pasukannya percaya pada diri sendiri.

“Ia sukar tapi bukan mustahil, kami harus percaya. Saya akan beritahu pemain-pemain saya untuk kekal percaya, dan lakukan beberapa perubahan.”

Walaupun bunyinya mudah, keyakinan ini dilihat tiada dalam aksi mereka di laman sendiri sehingga bermain tanpa hala tuju dan kerap melakukan kesilapan. Kekuatan mental sahaja yang mampu membantu mereka dalam aksi kedua.

Pertembungan rekod

Aksi Khamis ini dilihat lebih sukar disebabkan hakikat bahawa KLC tidak pernah tumpas di laman sendiri sepanjang musim ini, tetapi Gergasi Merah juga ada statistik yang mungkin akan membantu mereka.

Sepanjang musim ini mereka telah mencatatkan empat kemenangan setelah ketinggalan terlebih dahulu, dan kesemua empat perlawanan merupakan aksi di gelanggang lawan.

Pada bulan April mereka bangkit daripada ketinggalan dua kali menentang Melaka United untuk menghasilkan kemenangan 3-2, dan sebulan selepas itu ‘kesaktian’ Ifedayo Olusegun menghasilkan dua gol pada saat akhir untuk membantu mereka mengalahkan Petaling Jaya City 2-1. Pada bulan Ogos, mereka ketinggalan seketika kepada Kedah DA sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 4-2. Dan yang terbaru, dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, mereka bangkit daripada bolos awal menentang Perak FC untuk meraih kemenangan sensasi 2-1.

Rekod empat kemenangan ini yang harus diperingatkan Karsten kepada anak-anak buahnya.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Safuwan Baharudin tidak dapat diturunkan kerana tugasan dengan pasukan Singapura, manakala Brendan Gan, R. Dinesh dan Halim Saari tidak dapat beraksi sehingga tamat musim.

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid

Pertahanan: Syahmi Safari, Ashmawi Yakin, Sharul Nazeem, Jordan Ayimbila

Tengah: Hein Htet Aung, Oliver Buff, Alex Agyarkwa

Serangan: Danial Asri, Shahrel Fikri, Sean Selvaraj

Karsten harus tampilkan Selangor yang sebenar

Jika mereka serius mahu melangkah ke separuh akhir dengan cara menghasilkan kemenangan ‘comeback’, Selangor harus percaya yang mereka boleh bermain mengikut kemampuan sebenar mereka. Ini termasuklah menunjukkan ‘urgency’, bermain dengan sasaran dan pelan yang jelas, dan juga mengelakkan kesilapan-kesilapan.

Malah perlu dikatakan bahawa perlawanan ini merupakan ujian terakhir buat kemampuan Karsten sebagai pengendali Gergasi Merah. Jika tiada peningkatan dan hasil baik ditunjukkan (yang sebenarnya tiada dari awal musim lagi), jelaslah yang kebolehan taktikal dan motivasi beliau tidak seberapa, dan dia tidak layak kekal sebagai bos juara Piala Malaysia 33 kali ini.

Tamat Preview KLC lwn Selangor. Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.