Preview Kuching lwn Selangor

Preview Kuching lwn Selangor: Gergasi perlu senangkan kerja

Selangor FC dijadualkan bertemu Kuching City sekali lagi Rabu ini, selepas membenam pasukan Liga Premier itu 5-1 di Stadium MBPJ dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Piala Malaysia pada Sabtu lalu. Preview Kuching lwn Selangor ini menyaksikan pasukan pelawat perlu mengulangi persembahan baik itu untuk memastikan dapat mengutip salah satu dari dua ganjaran yang yang terhidang.

Kredit foto Selangor FC

Satu perlawanan, dua ganjaran, tiga mata

Pada masa ini, aturan dalam Kumpulan B adalah Terengganu FC mendahului dengan sembilan mata, Gergasi Merah kedua dengan enam mata, dan Perak FC dan Kuching masing-masing satu. Pada malam Rabu juga, Terengganu melayani kunjungan Perak, dan ini memungkinkan Selangor mendapat salah satu dari dua kelebihan, namun hanya jika anak-anak buah Karsten Neitzel memperolehi kemenangan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Jika kedua-dua Selangor dan Terengganu menang pada malam Rabu (ataupun Selangor menang dan Terengganu seri), ia akan menyaksikan kutipan mata kedua-dua pasukan ini sudah cukup untuk mengesahkan tempat mereka dalam pusingan suku akhir.

Namun situasi di mana Terengganu kalah mengejut kepada Perak, walaupun akan menyebabkan Selangor belum dapat mengesahkan kelayakan, masih akan membawa untung kepada Gergasi Merah. Ini disebabkan ia akan membolehkan Selangor merapatkan jurang mata dengan Sang Penyu, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan ini di Stadium MBPJ pada Ahad nanti.

Kekalkan yang efektif

Di sebalik dua kemungkinan ganjaran buat Selangor yang didedahkan dalam preview Kuching lwn Selangor ini, ianya masih bergantung kepada kemenangan yang perlu dicatat Selangor, dan tiga mata sahaja merupakan sasaran yang perlu mereka bidik.

Pasukan tuan rumah pasti sudah menginsafi kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan Sabtu lalu (mungkin penjaga gol Iqbal Suhimi yang melakukan tiga kesilapan yang membawa kepada gol Selangor akan direhatkan), dan akan bermain lebih kompak dan berhati-hati, dibantu kepulangan pemain-pemain yang telah pulih dari kecederaan. Jika ini berlaku, kerja-kerja Selangor pasti sukar seperti dalam separuh masa pertama tempoh hari.

Tetapi menurut Karsten, pasukannya mampu mengulangi persembahan yang sama kerana aksi tempoh hari tidak menyebabkan kecederaan baru, namun mereka harus mengekalkan corak permainan yang serupa.

“Pemain-pemain saya perlu mengulangi gaya permainan yang sama, inilah cabaran terbesar. Menunjukkan komitmen yang sama, sikap yang sama, terutamanya apabila penerimaan taktikal pasukan bertambah baik sejak beberapa bulan lalu. Walaupun menang hari itu, perlawanan Rabu sekali lagi bermula dengan jaringan 0-0 dan kami perlu bekerja keras untuk mengutip tiga mata seterusnya.

“Sesi pemulihan dan analisis video telah dijalankan selepas perlawanan [pada Sabtu] untuk mencari apa yang kami boleh perbaiki, tetapi apa yang paling penting ialah semua pemain saya cergas untuk perlawanan esok (Rabu) dan 100 peratus mampu mengulangi prestasi mereka,” jelas pengendali dari Jerman ini dalam jawapannya kepada media.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Karsten dijangka tidak akan melakukan banyak pertukaran ke atas barisan muda yang diturunkannya Sabtu lalu, apatah lagi hujung minggu nanti mereka akan menentang Terengganu, sebuah pasukan yang lebih mencabar dan pastinya memerlukan khidmat lebih ramai pemain berpengalaman.

Syahmi Safari, Ifedayo Olusegun (kecederaan jangka pendek)

Tim Heubach, Brendan Gan, R. Dinesh, Halim Saari (sehingga tamat musim)

Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Sikh Izhan (Malaysia B-23)

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid

Pertahanan: A. Namathevan, Ashmawi Yakin, Sharul Nazeem, Jordan Ayimbila

Tengah: Safuwan Baharudin, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa

Serangan: Aliff Haiqal, Danial Asri, Sean Selvaraj

Awal tak kalut

Peluang mengesahkan kelayakan ke peringkat seterusnya menerusi kemenangan ke atas pasukan bukan pilihan yang sudah pun disekolahkan tempoh hari adalah peluang yang perlu diambil juara 33-kali ini tanpa berfikir dua kali. Tambahan pula apabila kelayakan dapat dirangkul pada Rabu, Karsten seterusnya boleh menyusun pelan untuk merampas tangga pertama dan layak sebagai juara kumpulan dalam dua perlawanan terakhir, sekaligus mendapatkan slot suku akhir yang lebih selesa.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.