Aliff Haiqal Selangor FC lwn Melaka United

Preview: Selangor FC lwn Melaka United

Selangor FC akan kembali beraksi di laman sendiri, Stadium MBPJ pada hujung minggu ini, Sabtu, 28 Ogos, selepas dua kali berturut-turut berkunjung ke tempat lawan sebelum ini. Namun peluang beraksi di laman sendiri, kali ini menentang Melaka United, tidak menjamin peluang yang cerah untuk menang jika dilihat dari rekod kedua-dua pasukan musim ini.

Selangor asyik makan luar

Entah kenapa, musim ini Merah Kuning dilihat beraksi lebih baik di gelanggang-gelanggang lawan. Sebagai rekod, mereka sudah beraksi sembilan kali di MBPJ, dan 10 kali di tempat lawan, kesemuanya dalam aksi Liga Super.

Rekod menang: MBPJ 3 Tempat Lawan 6
Seri: MBPJ 2 TL 3
Kalah: MBPJ 4 TL 1
Gol: MBPJ 14 TL 23
Mata: MBPJ 11 TL 21

Lebih menggusarkan, rekod pertembungan terbaru kedua-dua kelab ini menyaksikan Melaka liat untuk ditumbangkan, manakala Selangor jarang menang di laman sendiri. Malahan, kemenangan terbaru Gergasi Merah ke atas Sang Kancil di laman sendiri, dalam Piala Malaysia tahun lalu, sebenarnya direkodkan di Stadium Hang Jebat akibat sekatan Covid-19!

Melaka yang kini di tangga kesembilan pula dilihat secara umumnya mempamerkan prestasi yang sekata, tidak kira di laman sendiri ataupun di tempat lawan.

Walaupun Selangor FC tidak pernah dikalahkan Melaka di laman sendiri sejak 2005, perlu diingatkan yang anak-anak buah Karsten Neitzel, kini di tangga keempat, perlu menang kesemua baki tiga perlawanan liga mereka jika mahukan peluang layak ke Piala AFC pada tahun hadapan.

Kemungkinan kesebelasan utama

Namun begitu, tidak dapat dinafikan yang Merah Kuning sedang berprestasi baik pada masa ini setelah merekodkan empat kemenangan berturut-turut, dan mereka ada kelebihan ini berbanding Sang Kancil yang tiada kemenangan dalam tempoh yang sama.

Karsten harus mempersiapkan pasukan dengan baik, dan satu caranya adalah memilih pemain-pemain yang sedang ‘in form’. Untung buatnya kerana pemain-pemain pertahanannya Syahmi Safari akan kembali dari penggantungan, Jordan Ayimbila dari pasukan simpanan dan Safuwan Baharudin dari kecederaan, sedang Shahrul Nazeem Zulpakar digantung sekali lagi akibat jumlah kutipan kad kuning. Dia dijangka kembali menggunakan formasi 4-3-3.

Tugas penjaga gawang dilihat akan digalas Khairulazhan Khalid seperti biasa, sementara barisan pertahanan akan terdiri dari (kanan ke kiri) Syahmi, Ashmawi Yakin, Safuwan dan Jordan, dengan Syahmi dan Jordan naik ke atas semasa menyerang.

Manuel Konrad sebagai pemain tengah bertahan akan masuk di antara Sharul dan Mawi semasa bertahan, manakala Manuel Konrad di posisi ‘central midfielder’ dan Hein Htet Aung sebagai pemain tengah menyerang.

Barisan serangan akan diketuai penjaring terbanyak liga semasa, Ifedayo Olusegun, yang dibantu Danial Asri dan Nor Hakim Hassan.

Keberadaan

Sharul Nazeem (penggantungan)

Tim Heubach (jangka pendek)

Brendan Gan, Halim Saari, Shahrel Fikri Fauzi (sehingga tamat musim)

Dari empat jadikan lima

Pengakhir kata, perlawanan ini harus dimenangi sang Gergasi biarpun rekod membuktikan liatnya Kancil untuk ditumbangkan. Fokus harus ditunjukkan dari awal sehingga akhir, tambahan pula jika dilihat bahawa lebih separuh gol Melaka sepanjang musim ini dijaringkan dalam 30 minit akhir perlawanan.

Di samping itu, mereka juga harus berjaga-jaga dengan kemungkinan semangat pihak lawan yang tiba-tiba meluap-luap dalam perlawanan ini, kerana ditawarkan bonus kemenangan oleh pihak-pihak tertentu.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.