Preview Perak lwn Selangor

Preview Perak lwn Selangor: Peluang tajamkan skuad sebelum kalah mati

Rabu ini Gergasi Merah akan berhadapan dengan Seladang di Ipoh dalam aksi pelengkap jadual Kumpulan B Piala Malaysia. Preview Perak lwn Selangor FC ini meneliti apa yang boleh dilakukan ketua jurulatih Karsten Neitzel dalam perlawanan terakhir sebelum mereka melangkah ke fasa kalah mati ini.

Kredit foto Malaysian Football League

Empat berturut-turut sekali lagi

Jika kekalahan 3-1 kepada Terengganu FC Ahad lalu merupakan kekalahan keempat Selangor kepada pasukan itu musim ini, sebaliknya perlawanan Rabu ini merupakan peluang untuk Gergasi menang kali keempat tahun ini ke atas pasukan yang sudah tersingkir dari Liga Super ini.

Jika dalam tahun-tahun sebelum ini pertembungan kedua-dua pasukan ini pasti berlangsung sengit, tahun ini yang kebetulan merupakan tahun keseratus penubuhan Perak menyaksikan mereka gagal memberikan saingan. Puncanya? Mereka terpalit masalah kewangan dan pengurusan yang membawa kepada persembahan buruk dan kehilangan pemain-pemain.

Perak juga tidak pernah menang dalam saingan peringkat kumpulan, dan di atas kertas sepatutnya pasukan pelawat Rabu ini mampu mengatasi mereka sekali lagi.

Dari selepas perlawanan Ahad lalu lagi Karsten menyatakan yang sasarannya di Ipoh ini hanyalah tiga mata saja, dan ini sesuatu yang harus dipuji. Tambahan pula kemenangan dan persembahan meyakinkan menentang Perak pasti akan menyuntik semangat bagi mengharungi saingan kalah mati yang pastinya lebih sukar.

Di samping itu, Karsten masih perlu memberikan minit permainan kepada pemain-pemain yang jarang beraksi, bagi memastikan mereka kekal tajam jika dipanggil nanti. Contohnya seperti penyerang George Attram yang mengharungi ‘debut’ dengan pasukan utama yang sukar Ahad lalu, pasti perlawanan yang tidak ada banyak tekanan seperti menentang Perak adalah lebih baik baginya untuk membuka langkah.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Perlawanan Ahad lalu menyaksikan kedua-dua pertahanan tengah, Ashmawi Yakin dan Sharul Nazeem terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan mereka dijangka akan terlepas aksi, atau setidak-tidaknya direhatkan.

Penjaga gol utama Khairulazhan Khalid, yang mana kesilapannya membawa kepada kesemua empat gol pasukan lawan dalam dua perlawanan terbaru Selangor mungkin akan direhatkan.

Pemain tengah bertahan Safuwan Baharudin pula dikatakan telah menyertai latihan pusat Singapura bagi dua perlawanan persahabatan, dan tidak akan pulang buat jangka masa yang lama.

Penjaga gol: Tauffiq Ar Rasyid Johar

Pertahanan: A. Namathevan, Shivan Pillay, Jordan Ayimbila, Syahmi Safari

Tengah: K. Sarkunan, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa

Serangan: Aliff Haiqal, George Attram, Nik Sharif

Ifedayo Olusegun (kecederaan jangka pendek)

Brendan Gan, R. Dinesh, Halim Saari (sehingga tamat musim)

Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Sikh Izhan (Malaysia B-23)

Masih sukar

Dari sudut lain, perlawanan bersifat pelengkap jadual ini dilihat masih sukar disebabkan ketiadaan ramai pemain utama Selangor sedangkan objektif Karsten masih mahu mengutip kemenangan. Di samping itu, ini juga merupakan perlawanan tempat lawan menentang pasukan yang pastinya mahu menamatkan kempen mereka dengan noktah kejayaan.

Selangor yang telah mengesahkan posisi sebagai naib juara Kumpulan B masih perlu bekerja keras pada malam Rabu nanti.

Tamat Preview Perak lwn Selangor Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.