Sabah lwn Selangor, Amri Yahyah

Preview: Sabah FC lwn Selangor FC

Dalam pertembungan Sabah lwn Selangor pada Ahad, 5 September ini, anak-anak buah Karsten Neitzel ingin bangkit dari kekecewaan saat akhir minggu lalu, menentang pasukan yang kini dihimpit kemerosotan prestasi lewat musim.

Walaupun pasukan tuan rumah, Sang Badak dilihat tidak begitu tergugat dengan bahaya penyingkiran dari Liga Super dengan baki dua perlawanan dan dipisahkan dari zon penyingkiran melalui enam mata, segala-galanya serba tak menjadi buat mereka. Lapan perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan, dan paling memburukkan keadaan, minggu lalu mereka dihentam 4-0 oleh ‘budak-budak universiti’ UiTM FC. Penyudahnya, ketua jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto direhatkan pengurusan Sabah. Pasti ini tidak pernah ada dalam perancangan pengarah teknikal tersohor di Malaysia, Scott Ollerenshaw.

Sementara itu, pasukan pelawat Gergasi Merah, kini di tangga kelima liga, mahu kembali ke jalan kemenangan apabila seri 1-1 di saat-saat akhir menentang Melaka United minggu lalu.

Jangan ambil mudah!

Biarpun prestasi semasa kedua-dua pasukan ini amat berbeza dengan Selangor dilihat bermain lebih baik di tempat lawan musim ini, ia tidak bermakna laluan ke mata penuh Gergasi di Kota Kinabalu adalah mudah.

Satu fakta aneh perlu diketengahkan mengenai pertembungan di antara kedua-dua pasukan ini; semenjak kebangkitan Sabah bermula musim 2018, kelab Malaysia Timur ini yang memiliki rekod yang lebih baik! Dari empat pertembungan, Sabah telah menang dua kali (kedua-dua kalinya dalam Piala Malaysia 2018), Selangor sekali dan seri sekali. Malahan, kemenangan terbaru Merah Kuning, 2-1 dalam aksi liga tahun lalu juga di Kota Kinabalu, merupakan kemenangan pertama mereka sejak tahun 2013.

Mereka juga perlu mengambil pengajaran dari perlawanan di tempat sendiri pada awal musim, apabila melepaskan gol penyamaan di saat-saat akhir perlawanan (sejujurnya macam radio buruk). Ini disebabkan pada musim ini, 65 peratus gol-gol Sabah dijaringkan di separuh masa kedua, sementara Selangor telah melepaskan 11 dari 28 gol musim ini dalam tempoh minit ke-75 ke minit ke-90.

Di samping itu, fenomena ‘new manager bounce’ yang berkemungkinan ditunjukkan pasukan tuan rumah pasti lebih menyukarkan tugas Selangor, ditambah pula dengan adanya bekas pemain Amri Yahyah, penjaring terbanyak mereka musim ini yang gemar membalas dendam dengan cara menyumbat gol.

Kemungkinan kesebelasan utama

Karsten dijangka tidak akan melakukan pertukaran besar-besaran dalam kesebelasan utamanya bagi perlawanan Sabah lwn Selangor. Biarpun Sharul Nazeem Zulpakar pulang dari penggantungan, Ashmawi Yakin pula akan menjalani hukuman yang sama, dan ini bermakna yang Safuwan Baharudin akan kekal. CDM, Manuel Konrad yang dikritik teruk kerana prestasi buruknya dijangka masih akan memulakan perlawanan.

Jadi, Khairulazhan Khalid akan mengawal gawang, sementara barisan pertahanan dari kanan ke kiri adalah Syahmi Safari, Sharul, Safuwan dan Jordan Ayimbila. Pemain tengah bertahan adalah Konrad, Oliver Buff sebagai CM manakala Hein Htet Aung sebagai pemain tengah serangan. Di bahagian sayap, Daniel Asri dan Nurhakim Hassan akan membantu Ifedayo Olusegun mendapatkan gol bagi membantu pasukan dan memberi saingan dalam perebutan kasut emas.

Keberadaan

Ashmawi (penggantungan)

Tim Heubach (kecederaan jangka pendek)

Brendan Gan, Halim Saari, Shahrel Fikri Fauzi (sehingga tamat musim)

Beri pengajaran

Biarpun perlawanan di tempat lawan ini dilihat tidak mudah, Karsten dan anak-anak buah wajib mengutip mata penuh. Ini bukan sekadar bagi membolehkan mereka memperbaiki kedudukan di akhir musim, malahan untuk turut memberi pengajaran buat pengarah teknikal pasukan lawan, yang ada baiknya dia menumpukan perhatian terhadap kesulitan yang dihadapi pasukan sendiri dari memberi komen-komen mengenai kelab lain.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.