Preview Selangor lawan Kuching

Preview Selangor lwn Kuching: Gergasi perlu matikan trend pelik

Aksi Piala Malaysia kembali semula hujung minggu ini selepas sebulan memberi laluan kepada aksi Harimau Malaya, dengan Gergasi Merah menambah coretan baru dalam sejarah perlawanan mereka. Ini adalah preview Selangor lawan Kuching City, perlawanan minggu keempat Kumpulan B yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ pada 30 Oktober.

Kredit foto Selangor FC dan Malaysian Football League

Rekod aneh

Dalam dua perlawanan pertama, anak-anak buah Karsten Neitzel dipaksa berhempas pulas untuk menang 1-0 ke atas Perak FC sebelum tewas tipis 2-1 kepada Terengganu FC, manakala pasukan Irfan Bakti Abu Salim tewas 2-0 kepada Terengganu, sebelum mengejutkan Perak 2-2. Jelas yang pasukan Liga Premier ini bukannya pasukan belasahan semata-mata dalam saingan ini.

Laga yang akan berlangsung Sabtu ini juga merupakan kali pertama kedua-dua pasukan bertembung dalam sejarah mereka, disebabkan pasukan Borneo ini merupakan pasukan yang hanya memasuki piramid bolasepak Malaysia pada tahun 2017. Walaupun mungkin ini menyebabkan Gergasi Merah dianggap sebagai pasukan pilihan bagi perlawanan ini, ditambah pula dengan kesulitan lawan untuk mengaturkan perlawanan pemanas badan dalam tempoh rehat, satu statistik yang tidak diketahui ramai dilihat merisaukan.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan, Selangor telah bertembung dengan beberapa pasukan dan kelab-kelab baru buat kali pertama dalam sejarah iaitu PKNP FC, Petaling Jaya City dan UiTM FC, dan ketiga-tiga pertembungan ini berakhir dengan keputusan seri. Karsten harus memastikan yang anak-anak buahnya tidak terlalu yakin semasa berhadapan dengan Kuching dan menyebabkan mereka dimalukan.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Dalam tempoh rehat sebulan ini, dilihat beberapa pemain yang dahulunya tercedera telah sembuh, seperti Aliff Haiqal, Ashmawi Yakin dan juga penyerang, Shahrel Fikri.

Syahmi Safari (kecederaan jangka pendek)

Tim Heubach, Brendan Gan, Halim Saari (sehingga tamat musim)

Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili, Sikh Izhan (Malaysia B-23)

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid

Pertahanan: A. Namathevan, Safuwan Baharudin, Sharul Nazeem, Jordan Ayimbila

Tengah: Oliver Buff, Hein Htet Aung, Aliff

Serangan: Wan Zack Haikal, Ifedayo Olusegun, Danial Asri

Permulaan memberangsangkan (sekali lagi)

Walaupun tempoh rehat panjang yang hadir selepas pertandingan hanya berlangsung dua perlawanan mungkin agak menjengkelkan bagi penyokong, ianya telah memberikan Gergasi Merah ruang untuk bernafas dan mengumpul semula kekuatan. Di samping pemulihan pemain-pemain yang dahulunya cedera, mereka juga sempat menjalani tiga perlawanan pemanas badan, dengan dua darinya berakhir dengan kemenangan.

Penyokong yang akan kembali ke stadium pula sudah pasti akan menghangatkan lagi suasana dan menyemarakkan lagi semangat pasukan, jadi hanya kemenangan merupakan keputusan yang patut disasarkan oleh Karsten dan anak-anak buahnya.

Selain dari mematahkan trend aneh tadi, ia juga demi mengutip kemenangan kedua dalam peringkat kumpukan, di samping memberikan permulaan yang baik apabila mereka akan bermain dalam empat perlawanan peringkat kumpulan dalam tempoh tidak sampai dua minggu.

Tamat preview Selangor lawan Kuching. Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.