Preview Selangor lwn KLC

Preview Selangor lwn KL City: Aksi pertama harus dimanfaatkan Gergasi

Setelah berjaya layak ke suku akhir Piala Malaysia tanpa banyak masalah, Selangor FC akan bertembung dengan seteru Lembah Klang yang berprestasi begitu baik musim ini, Kuala Lumpur City (KLC). Berikut merupakan preview Selangor lwn KLC, pertembungan suku akhir pertama yang akan dimainkan pada Ahad, 14 November di Stadium MBPJ.

Kredit foto Malaysian Football League

Dulu dan sekarang

Rekod pertembungan kedua-dua pasukan ini secara umumnya menyebelahi Gergasi Merah, dengan 50 perlawanan dimenangi mereka dan 16 seri daripada 81 perlawanan kesemuanya. Malah jika dilihat dari musim 2005, Selangor hanya pernah tumpas dalam satu perlawanan, pada tahun 2007, dari 25 perlawanan.

Namun itu sebelum 2021.

Tahun ini selepas dijenamakan semula dan berada di bawah kendalian ketua jurulatih berpengalaman Bojan Hodak, mereka memang menyengat. Perlawanan persahabatan pra-musim berakhir dengan kemenangan KLC menerusi penentuan sepakan penalti, manakala kedua-dua aksi liga berakhir seri 1-1 dengan Selangor yang terpaksa bangkit dari ketinggalan. Mereka turut menamatkan saingan liga di tangga keenam, hanya satu tempat di bawah Selangor. Sudah pasti mereka‌ kini mahu mendapatkan kemenangan mutlak dalam pentas yang lebih sengit.

Tambahan pula, musim ini mereka masih belum kalah di tempat sendiri, di samping menjuarai Kumpulan A Piala Malaysia dengan rekod tanpa kalah. Sudah pasti KLC bukannya calang-calang pasukan.

Tetapi anak-anak buah Karsten Neitzel juga bukan pasukan sampingan. Dalam perlawanan terakhir Kumpulan B mereka Rabu lalu, menentang Perak FC di Ipoh, pelatih dari Jerman itu merehatkan beberapa pemain utama dan mereka masih mampu meraih kemenangan. Kini setelah bintang-bintang mereka mendapat rehat secukupnya, pasti mereka bersedia untuk melayani kunjungan The City Boys di laman sendiri. Malah siapa tahu, mungkin ada yang akan muncul kembali setelah lama disisihkan?

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Semakin ramai pemain-pemain Selangor telah pulih seperti Tim Heubach dan Manuel Konrad yang kembali beraksi menentang Perak, namun Safuwan Baharudin tidak akan diturunkan kerana tugasan dengan pasukan Singapura.

Mukhairi Ajmal, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Sikh Izhan telah selesai kuarantin bersama Malaysia B-23, tetapi dijangka masih belum bersedia untuk kembali beraksi.

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid

Pertahanan: Syahmi Safari, Tim Heubach, Sharul Nazeem, Jordan Ayimbila

Tengah: Manuel Konrad, Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa

Serangan: Danial Asri, Ifedayo Olusegun, Shahrel Fikri

Brendan Gan, R. Dinesh, Halim Saari (kecederaan/tidak dapat beraksi sehingga tamat musim)

Selangor ada kelebihan awal

Perbezaan dari segi rehat yang telah dilalui pemain kedua-dua pasukan merupakan kelebihan yang harus digunakan oleh Karsten. Ya KLC merupakan pasukan yang berbahaya, tetapi mereka telah dipaksa bekerja keras menentang Sri Pahang Rabu lalu.

Dan sudah pasti mereka akan lebih liat dalam aksi kedua di laman mereka sendiri pada Khamis depan. Anak-anak buah Bojan harus dibenamkan Gergasi Merah seawal mungkin biarpun Stadium MBPJ merupakan gelanggang yang tidak begitu bernasib baik tahun ini.

Dapatkan tiket anda di sini.

Tamat Preview Selangor lwn KLC. Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.