Naturalisasi Hein Htet Aung

Preview Terengganu lwn Selangor: Kini giliran Gergasi Merah

Jika perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Malaysia minggu lalu menyaksikan Selangor FC menghadapi pasukan yang telah mereka tumbangkan dalam kedua-dua perlawanan Liga Super, Perak FC, perlawanan kedua menyaksikan mereka berkunjung ke tempat lawan yang telah menumpaskan mereka dua kali pula di awal musim iaitu Terengganu. Preview Terengganu lwn Selangor ini akan melihat rekod pertemuan-pertemuan terdahulu dan kemungkinan kesebelasan utama Gergasi Merah.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Giliran Selangor sudah tiba

Tidak dinafikan yang skuad Penyu adalah lebih baik berbanding anak-anak buah Karsten Neitzel musim ini, menerusi kedua-dua kemenangan mereka dalam saingan liga. Apatah lagi kali terakhir menang di Kuala Terengganu pada tahun 2018. Namun rekod 10 pertembungan terbaru menunjukkan saingan sengit, dengan Terengganu memenangi empat perlawanan, Selangor tiga dan seri tiga. Rekod 14 perlawanan terbaru dalam Piala Malaysia juga hampir serupa; Terengganu lima, Selangor empat dan seri lima.

Rekod Terengganu di laman sendiri musim ini juga tidaklah begitu baik; terutamanya di penghujung saingan liga. Kemenangan mereka pada minggu pertama peringkat kumpulan Ahad lalu adalah 2-0 ke atas pasukan divisyen dua Kuching City, yang sebelum itu terpaksa melalui perjalanan menaiki bas selama 12 jam untuk ke Terengganu. Perlawanan terakhir Kuching sebelum itu juga hanyalah pada Jumaat, dua hari sebelumnya.

Bos Terengganu, Nafuzi Zain juga dilihat gemar menggunakan permainan psikologi terhadap Selangor dalam kenyataan-kenyataannya kepada media, dengan menyifatkan Gergasi Merah sebagai pasukan yang lebih kuat. Walaupun ini bukanlah hakikat sebenarnya, apa yang kita boleh kita pelajari dari tindakan sinisnya ini adalah dia mengetahui kebolehan Selangor untuk memeranjatkan pasukannya.

Jadi, betul apa yang dikatakan Karsten apabila ditanyakan mengenai perlawanan di Kuala Terengganu; walaupun Terengganu pasukan yang baik, sudah tiba giliran Merah Kuning pula untuk menang malam ini.

Keberadaan dan kemungkinan kesebelasan utama

Bagi perlawanan ini, Aliff Haiqal Lau kembali dari kecederaan manakala Syahmi Safari selesai menjalani penggantungan. Sharul Nazeem, Oliver Buff dan Manuel Konrad dijangka masih belum sedia.

Penjaga gol: Khairulazhan Khalid

Pertahanan: A. Namathevan, Safuwan Baharudin, Ashmawi Yakin, Syahmi

Tengah: K. Sarkunan, Hein Htet Aung, Aliff

Serangan: Wan Zack Haikal, Ifedayo Olusegun, Nor Hakim Hassan

Tim Heubach (kecederaan jangka pendek)

Brendan Gan, Halim Saari, Shahrel Fikri Fauzi (sehingga tamat musim)

Menangi perlawanan, menangi hati penyokong

Perlu diakui bahawa masalah utama Selangor musim ini adalah kegagalan mereka untuk bermain baik secara konsisten, tidak kira kekuatan lawan. Mereka pernah menang dengan pasukan yang lebih unggul, tetapi pernah juga dikecewakan pasukan-pasukan yang sepatutnya mudah di atas kertas. Jika dilihat dari kemenangan tipis ke atas Perak tempoh hari, lawan sebenar mereka malam ini adalah diri sendiri, secara khususnya sikap mereka yang kerap longlai dengan tak semena-mena.

Terengganu merupakan pasukan yang utuh, tetapi kejayaan menang ke atas mereka akan membawa beberapa kelebihan kepada Selangor dalam pertandingan ini. Pertamanya, kemenangan ke atas pasukan pilihan akan memberikan keyakinan kepada pasukan dalam misi memburu kejuaraan ke-34. Turut penting adalah kemenangan malam ini akan membawa ‘feel good factor’ kepada penyokong sebelum pertandingan berehat selama sebulan, dan seterusnya meyakinkan mereka untuk kembali ke stadium jika ura-ura terkini boleh dipercayai.

Tamat preview Terengganu lwn Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.