Quentin Cheng gembira berKrismas

Quentin bangga dengan peningkatannya, kini mahu banggakan Malaysia

Selangor FC telah pun mula mengumumkan barisan pemain pasukan utama bagi musim depan bermula minggu lalu. Antara muka-muka baru dalam pasukan utama Gergasi Merah merupakan seorang pemain yang telah menampilkan peningkatan sepanjang musim ini. Dan apabila ditanya, pemain ini, Quentin Cheng bangga dengan pencapaiannya dalam tahun 2021.

Kredit foto Selangor FC

Beraksi sebagai pemain pinjaman dengan Penang FC musim ini, pertahanan kanan berusia 22 tahun ini tampil sebagai orang kuat Harimau Kumbang, berada dalam kesebelasan utama kesemua 22 perlawanan liga dan mencatatkan rekod pemain Penang dengan minit aksi liga terbanyak, di samping merakam lima ‘assist’ dan enam ‘clean sheet’.

Bukan itu saja, di peringkat kebangsaan dia membantu Malaysia B-23 layak ke saingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan, di samping melakukan penampilan pertama dengan Harimau Malaya dalam sebuah perlawanan persahabatan.

Kini walaupun musim 2021 pertandingan domestik hampir tamat, Quentin masih belum boleh berehat. Dia berada dalam latihan pusat Malaysia pula, merebut tempat dalam skuad yang akan beraksi dalam Kejohanan AFF 2020 bulan depan, bersama-sama tiga orang lagi bintang Selangor.

“Saya sangat gembira tahun ini, satu-satunya sebab saya ke Penang adalah untuk mendapatkan minit perlawanan dan pengalaman Liga Super dan saya rasa saya telah berjaya mendapatkannya.

“Saya berada dalam kesebelasan utama kesemua perlawanan, sesuatu yang agak sukar kerana jadual yang rapat disebabkan Covid. Saya juga bangga dan gembira mendapat ‘debut’ pasukan senior kebangsaan, ibu dan ayah saya juga, dan seterusnya membantu pasukan bawah umur Malaysia layak ke Uzbekistan. Ini satu tahun yang baik buat saya,” jelas pemain kelahiran Australia ini dalam satu temubual ringkas dengan penulis bagi laman sesawang kelab.

Walaupun Quentin Cheng bangga, kini perhatiannya teralih kepada usaha merebut tempat dalam skuad akhir 24 pemain yang akan ke Singapura minggu ini, sebelum membantu Malaysia dalam saingan peringkat kumpulan.

“Sasaran saya buat masa ini adalah untuk dipilih dalam skuad utama kerana senarai sekarang ada ramai pemain-pemain yang bagus. Dan jika saya dapat menyertai peringkat akhir saya mahu bawa kebanggan kepada negara dan dapatkan sebanyak mungkin minit permainan, ambil sebanyak mungkin peluang ketika mewakili Malaysia.

“Saya tahu pertandingan ini banyak sejarah dan Malaysia ada pencapaian baik dalam edisi-edisi sebelum ini, pernah menjadi juara sekali dan layak ke perlawanan akhir.

“Walaupun kumpulan Malaysia sukar, sejujurnya saya percaya kami ada peluang yang baik untuk layak ke peringkat kalah mati kerana kami ada kualiti. Kami harus lalui satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum dapat ke peringkat seterusnya,” jawab Quentin.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.