Quentin Cheng gembira berKrismas

Q gembira sambut Krismas selepas dua tahun, kini mahu rebut tempat

Lebih ramai bintang-bintang Selangor FC mula menyertai latihan pra-musim 2022, termasuklah anggota-anggota pasukan Harimau Malaya yang baru-baru ini menyertai Piala AFF 2020. Salah seorang dari mereka merupakan pertahanan kanan yang telah dipinjamkan ke Penang FC musim lalu. Dalam temubual ringkas dengan jabatan media kelab, dinyatakan Quentin Cheng gembira berkrismas dengan keluarga setelah dua tahun, dan kini dapat fokus kepada Gergasi Merah.

Kredit foto Selangor FC

Tahun 2021, tahun pertamanya dalam Liga Super Malaysia merupakan tahun yang cemerlang buat Quentin. Dipinjamkan ke Penang FC setelah ‘bergraduasi’ dari Selangor 2, pemain yang lebih dikenali dengan nama panggilan ‘Q’ ini muncul sebagai salah seorang orang kuat Harimau Kumbang, beraksi dalam kesemua aksi liga mereka dan membantu pasukan yang baru kembali ke divisyen satu ini menamatkan saingan di tempat ketiga. Dia kemudiannya membantu pula Harimau Muda menempah tempat dalam pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan dilangsungkan di Uzbekistan tahun ini.

Lebih membanggakan, dia mendapat ‘debut’ untuk pasukan senior negara asal ibu dan ayahnya ini, sebelum dipanggil beraksi dalam Piala AFF pada hujung tahun lalu, walaupun aksinya terhad disebabkan diuji positif Covid-19.

Sudah pasti setelah tamatnya musim 2021 yang cemerlang buatnya, peluang untuk pulang ke kampung halamannya di Sydney merupakan ganjaran yang manis bagi pemain yang kini berusia 22 tahun, apatah lagi tidak dapat melakukannya pada tahun 2020 disebabkan penularan wabak Covid-19 dan seterusnya sekatan ke atas pergerakan keluar masuk Malaysia.

“Saya sangat gembira dapat balik ke Australia selepas dua tahun kerana pandemik. Seronok dapat berjumpa sahabat handai dan keluarga, menyambut Hari Krismas bersama-sama mereka.”

Sudah pasti peningkatan yang ditunjukkannya merupakan sebab utama Q dibawa pulang dari pinjaman. Namun biarpun dia kini dikatakan merupakan pilihan utama bagi posisi pertahanan kanan selepas perpindahan pergi Syahmi Safari dan Namathevan Arunasalam, dia merasakan yang masih perlu bekerja keras.

Selepas Quentin Cheng gembira berkrismas, dia mahu menambat hati barisan kejurulatihan pasukan utama.

“Saya sangat gembira kembali ke Selangor, kelab pertama saya di Malaysia, selepas melalui musim yang baik di Penang. Dapat bertemu pemain-pemain muda tempatan (bekas anggota Selangor 2) yang sudah saya kenali juga.

“Motivasi saya tahun ini adalah untuk menarik perhatian jurulatih terutamanya ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner. Saya tahu sistem dan gayanya, jadi saya mahu dapat minit permainan di bawah kendaliannya,” jelas Quentin.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.