Ini bukan stadium Selangor, sekadar gambar hiasan

Kisah stadium Selangor yang hilang dalam Perang Dunia Kedua

Sebagai kelab terbaik Malaysia sepanjang zaman, Selangor FC bertuah pernah menjadikan beberapa venue bersejarah negara ini sebagai laman sendiri. Stadium-stadium Selangor di antaranya adalah Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka), Stadium Merdeka, Stadium TPCA/Jalan Raja Muda (kini Stadium Mini Jalan Raja Muda Abdul Aziz), dan juga Stadium Shah Alam yang kini hampir mencecah usia tiga dekad.

Kredit foto utama Lucas Marconnet dari Unsplash. Sekadar gambar hiasan.

Menerusi maklumat yang disampaikan pegawai kelab, Encik Amir Shariffuddin yang membantu penulis dalam sebuah projek lain, pasukan negeri Selangor dahulu kala pernah menjadikan sebuah lokasi bernama Stadium MAHA (Malayan Agri-Horticultural Association)/Stadium Kuala Lumpur sebagai ‘home ground’. Ini amat mengejutkan penulis yang tidak pernah mendengar mengenainya dari mana-mana pihak, sepanjang menyokong dan Selangor dan membuat liputan mengenai pasukan ini.

Baca juga: Masa depan Merah Kuning ada di Stadium MBPJ, bukan Stadium Shah Alam

Perlu dinyatakan yang semua ini berlaku hampir sekurun yang lalu, semasa negeri dan negara ini masih dijajah British, Kuala Lumpur masih merupakan sebahagian dari negeri Selangor, malah sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Persatuan Bolasepak Selangor pada masa itu juga masih dalam bentuk Selangor Football Association (SFA) dan ditadbir warga British.

Cadangan pembinaan stadium ini mula disuarakan pada tahun 1927, dan dari awal lagi gelanggang ini dibina dengan tujuan untuk kegunaan MAHA dan SFA. Pada mulanya tiga tapak telah dicalonkan bagi ‘venue’ ini; di Gaol Road (kini Jalan Hang Tuah), di persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Circular Road (mungkin tapak Hospital Prince Court kini), dan di Jalan Pudu.

Namun tapak yang dipilih pada akhirnya adalah di persimpangan Circular Road (kini Jalan Tun Razak) dan Jalan Ampang, dan menurut laporan akhbar zaman itu, ia mula dibina pada tahun 1928 dan siap pada tahun berikutnya.

Lokasi khusus stadium ini tidak diketahui, hanya dikatakan dalam laporan-laporan akhbar berada di belakang balai polis di persimpangan ini, iaitu Balai Polis Jalan Tun Razak sekarangnya.

Penulis juga belum menemui mana-mana gambar stadium Selangor ini, walaupun rekod menyatakan yang ia dapat memuatkan 5,000 penonton.

Yang melucukan, apabila siap dibina, MAHA disaman oleh penduduk-penduduk di sekitar kerana dikatakan yang perlawanan-perlawanan bolasepak yang dilangsungkan di situ mengganggu ketenteraman awam. Walaupun saman itu berpihak kepada pemilik stadium, Selangor hanya mula menjadikan stadium ini ‘home ground’ mereka secara rasmi pada tahun 1931, dalam Piala Malaya menentang Pulau Pinang pada 18 Julai, perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 5-3 buat Selangor.

Selangor bermain sejumlah 20 kali di stadium ini di antara 1931 dan 1940, dan menang 14 kali. Lapan perlawanan akhir Piala Malaya dilangsungkan di sini dengan Selangor menjadi finalis sebanyak empat kali. Namun hanya satu sahaja perlawanan akhir ini dimenangi mereka, 2-0 ke atas Singapura pada tahun 1935. Perlawanan terakhir mereka di sini adalah sembilan tahun kemudian, menentang Kedah dalam Piala Malaya pada 20 Julai.

Jadi mengapakah Stadium MAHA ini tidak begitu diketahui dan hanya digunakan sehingga 1940? Wartawan sukan veteran dan pegawai media Kuala Lumpur City FC Devinder Singh ada teori beliau.

Menurutnya, Perang Dunia Kedua (1941-45) dan penjajahan Jepun menyebabkan gelanggang ini rosak, tidak dapat digunakan lagi dan seterusnya terlupus.

Penulis sendiri ada masuk memandu di sekitar kawasan ini beberapa bulan yang lalu, sekadar melihat-lihat. Sebelum adanya maklumat yang lebih kukuh, penulis meneka yang stadium itu mungkin kini menjadi tapak penjual kereta atau pusat membeli-belah betul-betul bersebelahan balai polis tadi, ataupun masuk ke dalam lagi, di kawasan perumahan dan kedutaan. Lagipun di dalam kawasan kejiranan ini ada beberapa padang dan tanah lapang yang dimiliki Kelab Aman, SJKC Chung Hwa (P), dan sebuah persatuan kriket. Mungkinkah salah satu daripadanya merupakan bekas tapak Stadium MAHA? Penulis hanya mampu meneka buat masa ini.

Lokasi stadium Selangor 1931-1940, Stadium MAHA
Lokasi mungkin Stadium MAHA. Balai polis terselindung di bucu bawah kiri peta. Kredit Google Maps

Tidak dinafikan yang ralat bila mengetahui adanya satu titik buta dalam rekod pasukan kita yang penuh sejarah. Sudah pasti Merah Kuning 24/7 akan terus cuba menggali lebih banyak maklumat dan rekod mengenai Stadium MAHA.

Jika anda memiliki maklumat, rekod bertulis atau gambar Stadium MAHA, kongsikannya dengan menulis e-mel ke editor@merahkuning247.com. Kami mengalu-alukan segala informasi yang anda hulurkan.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.