Oliver Buff bermain dengan Selangor FC

Ratings – Buff santai dapat MOTM menentang Perak FC

Selangor FC berjaya menumbangkan Perak FC dalam pertembungan Banteng-Seladang di Liga Super pada Sabtu, 21 Ogos, tetapi pemain-pemain Gergasi Merah dilihat tidak bermain baik.

Khairulazhan Khalid – 7/10

Penjaga gol Malaysia ini tidak begitu dicabar, tetapi masih berjaga-jaga untuk mendapat ‘cleansheet’.

Namathevan Arunasalam – 7/10

Diberi penampilan sebagai ‘starter’ disebabkan penggantungan Syahmi Safari, pada awalnya pemain pertahanan kanan ini nampak tergugat dengan serangan-serangan sayap kiri Perak. Namun Nama akhirnya berjaya mendapat rentak untuk mempertahankan bahagian sayapnya dengan baik.

Ashmawi Yakin – 7/10

Tidak ada apa yang menakjubkan mengenai persembahan pertahanan tengah ini, tetapi Mawi melaksanakan tugasnya dengan baik.

Sharul Nazeem Zulpakar – 6/10

Pertahanan tengah yang meningkat naik ini bermain baik dan dilihat memintas banyak serangan-serangan pasukan Seladang. Namun dia masih mengutip kad kuning atas satu kekasaran yang sia-sia.

Dinesh Rajasingam – 4/10

Pemain pertahanan kiri ini gagal memanfaatkan peluang berada dalam kesebelasan utama. Dia dilayangkan kad kuning kerana kekasaran tak sampai 10 minit perlawanan dimulakan, dan selepas itu dia masih melakukan bentesan-bentesan cemerkap! Nasibnya baik, pengadil lembut hati dan tidak menghalaunya keluar padang. Tetapi tidak jurulatih Selangor FC Karsten Neitzel, yang tidak mengambil risiko dan mengeluarkan Dinesh 5 minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Manuel Konrad – 5/10

Pada satu masa dalam separuh masa kedua, pemain tengah bertahan ini kehilangan bola dalam kawasan penalti sendiri. Dia juga kelihatan terlalu terancam dengan barisan serangan tuan rumah, yang secara jujurnya tidak bermain dengan baik.

Nor Hakim bin Hassan – 6/10

Pemain sayap ini ada mengancam barisan pertahanan bekas pasukannya, walaupun tidak begitu berhasil.

Oliver Buff – 7/10 (Pemain Terbaik Perlawanan)

Bekas pemenang Piala Dunia peringkat remaja ini dilihat tidak berjaya menghubungkan bahagian tengah Selangor ke jabatan serangan. Pada satu masa, penyerang Ifedayo Olusegun yang terpaksa turun ke bawah mengambil bola untuk menggerakkannya semula. Yang lucunya, dia menjaringkan gol pertama Selangor beberapa detik selepas mudah kehilangan bola dari lontaran ke dalam, dan kemudiannya menghadiahkan Gergasi Merah gol ketiga mereka selepas memenangi sepakan penalti. Tak dapat dinafikan juga bantuan gol Buff, sepakan percumanya ditanduk masuk Ifedayo bagi gol kedua malam ini.

Hein Htet Aung – 6/10

Berbanding peningkatan yang ditunjukkan pemain sayap ini dalam perlawanan-perlawanan terdahulu, dia agak tenggelam menentang Perak dan tidak menghasilan kombinasi-kombinasi yang menarik dengan Ifedayo Olusegun.

Ifedayo Olusegun – 7/10

Bukan persembahan ‘vintage’ penyerang ini yang dilihat kurang tajam. Jika dia tajam, sudah pasti dia dapat menjaringkan lebih dari dua gol dan dapat menerajui carta penjaring terbanyak Liga Super.

Danial Asri – 6/10

Masalah utama pemain penyerang ini adalah ketiadaan konsistensi, dan malam ini ‘Chang’ gagal mengancam barisan pertahanan lawan, apatah lagi untuk menggandakan jumlah jaringan gol individunya. Dia dikeluarkan Kalle pada waktu rehat.

Pemain gantian:

Safuwan Baharudin – 6/10

Penampilan pertama pertahanan kiri ini selepas lama cedera, dan dia bermain baik walaupun belum di tahap 100 peratus.

Mukhairi Ajmal – 6/10

Masuk di awal separuh masa kedua, pemain sayap muda ini dapat mengancam kubu Perak, walaupun hasilnya tidak seberapa. Dia juga dilihat gopoh dengan peluang-peluang yang dimilikinya.

Sarkunan Krishnansamy, Nik Sharif Haseefy, Sean Selvaraj – NA

Tidak dapat tempoh bermain yang cukup untuk melakukan impak.

Baca juga: Feichtenbeiner mahu anak buah lebih tajam

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.