Preview Perak lwn Selangor

Ratings – Selangor diselamatkan pemain gantian

Ratings Selangor lwn Perak bagi pusingan pertama Kumpulan B Piala Malaysia 2021 menilai persembahan skuad Merah Kuning dalam satu perlawanan yang menyaksikan mereka bukan saja tidak bermain baik, malahan hampir dihukum pasukan yang tidak sepatutnya mencabar mereka.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Khairulazhan Khalid – 6/10

Walaupun berhadapan dengan pasukan yang tidak bermain baik, penjaga gol ini masih diperlukan untuk bertindak cemerlang terutamanya di separuh masa pertama. Dia mengutip ‘clean sheet’ dan membantu pasukan mengutip tiga mata penuh.

Namathevan Arunasalam – 5/10

Sayap kanan Selangor masih terlalu senang dicerobohi dan tidak dipertahankan dengan baik oleh pemain pertahanan ini, manakala hantaran-hantaran silangnya semasa menyerang banyak yang dilakukan terlalu awal dan gagal menemui pemain serangan.

Safuwan Baharudin – 6/10 (Pemain Terbaik Perlawanan)

Kembali ke kesebelasan utama, ‘centreback’ ini bermain baik dan menunjukkan kepimpinan melalui teladan di barisan pertahanan tatkala Seladang dilihat hampir dapat membocori gawang mereka.

Ashmawi Yakin – 5/10

Pertahanan tengah ini tidak menyerlah dalam perlawanan ini bilamana pasukannya juga gagal bermain baik.

Jordan Ayimbila – 4/10

Pertahanan kiri ini semakin diragui permainannya biarpun dilihat memulakan kariernya dengan pasukan utama secara baik pada awal musim. Terlalu beria-ia di saat mereka gugup setelah kehilangan Oliver Buff akibat kecederaan, dia kehilangan bola yang seterusnya membolehkan Perak mengancam mereka. Turut mengutip kad kuning.

Shivan Pillay Asokan – 5/10

Perak tidak terlalu bahaya secara umumnya, tetapi mereka masih dapat mengatasi ‘CDM’ yang belum cukup pengalaman ini.

Oliver Buff – NA

Tak sampai 30 minit, dia tercedera lagi dan terpaksa dikeluarkan! Akibatnya, Merah Kuning sekali lagi bermain tak tentu arah.

Hein Htet Aung – 5/10

Sekali lagi tenggelam dan tidak berjaya bergabung baik dengan pemain-pemain serangan.

Wan Zack Haikal – 4/10

Diberi kepercayaan memulakan perlawanan, pemain sayap ini tidak menunjukkan ketajaman dan kombinasi baik dengan rakan-rakan sepasukan. Digantikan pada separuh masa kedua.

Nor Hakim Hassan – 4/10

Pemain serangan yang gagal membawa impak kepada pasukan dan dikeluarkan pada separuh masa kedua.

Ifedayo Olusegun – 6/10

Apabila pemain-pemain sokongan tidak berfungsi dengan baik, pemenang kasut emas Liga Super dua kali berturut-turut ini ikut tenggelam. Dia hanya menunjukkan peningkatan apabila mereka digantikan, yang seterusnya membawa kepada gol penaltinya di hujung perlawanan.

Pemain-pemain gantian:

Danial Asri, Mukhairi Ajmal, Sean Selvaraj – 6/10

Pemain-pemain pertukaran separuh masa kedua ini membawa impak dalam perlawanan ini melalui tenaga mereka. Hantaran Mukhairi (yang baru mendapat ‘call-up‘ Malaysia pertama) menyebabkan Sean kemudiannya dikasari dan meraih sepakan penalti.

Harith Haikal – NA

Pertukaran lewat permainan yang hanya sempat menerima layangan kad kuning (!), dan tidak dapat menerima ‘ratings’ Selangor lwn Perak.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.