Rufino Segovia

Legenda Selangor, pemenang kasut emas (dan CEO firma hartanah) sertai kelab baru

Lama kita tak dengar berita mengenai bekas penyerang Selangor FC, Rufino Segovia. Pemain dari Sepanyol ini dilepaskan Gergasi Merah pada penghujung musim 2020, setelah berkhidmat tiga setengah musim dan mengutip 45 penampilan dan 29 gol dalam Liga Super.

Kredit foto utama Selangor FC

Menurut pengumuman sebuah kelab yang bersaing dalam divisyen lima Sepanyol Tercera DivisiΓ³n RFEF, Marbella FC, mereka telah menandatangani pemain berusia 36 tahun ini. Kontrak bermain ini adalah sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Marbella telah ditubuhkan pada tahun 1997 di bandar Marbella, selatan Sepanyol dan pada musim 2020/21 lalu menghadapi penyingkiran dari divisyen empat.

Pengumuman tersebut turut menyentuh mengenai pengalaman Rufino bersama Gergasi Merah dan kejayaannya merangkul anugerah penjaring terbanyak.

Bekas pemain Atletico Madrid ini diingati kita kerana peranan besar yang dimainkannya dalam satu tempoh yang boleh dikatakan sebagai zaman kegelapan Selangor. Hadir dalam jendela perpindahan kedua 2017, Rufino memberi bayangan apa yang boleh dibuatnya dengan menjaringkan lima gol dalam enam perlawanan liga musim itu.

Pada musim berikutnya beliau mengganas; biarpun Merah Kuning menamatkan saingan liga di tangga kelapan, Rufo merekodkan 19 dari keseluruhan 35 gol liga pasukan musim itu, untuk merangkul anugerah kasut emas 2018. Sembilan gol lagi yang dijaringkannya dalam Piala FA membantu Selangor mara ke perlawanan akhir, sebuah pencapaian memberangsangkan buat pasukan yang dikekang pelbagai masalah pada masa itu.

Di samping itu, Rufino juga disenangi penyokong kerana wataknya di atas dan luar padang. Dia dilihat rajin turun ke bawah membantu transisi bertahan ke menyerang (di samping sumbangan gol-golnya), dan tidak lokek meluangkan masa mengambil foto dengan penyokong selepas perlawanan.

Musim 2019, musim penuh pertama Selangor di bawah kepimpinan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin sepatutnya membolehkan Rufino lebih meletup, namun sebaliknya yang berlaku. Dia tercedera di tumit sewaktu menentang Kuala Lumpur pada bulan Mac dan terpaksa berehat sepanjang musim, dengan tempatnya digantikan seorang bakal pemenang kasut emas.

Biarpun sukar mendapat kembali rentak dahulu, Rufino Segovia masih dikekalkan bagi musim 2020. Dia bermain dalam kesemua 11 perlawanan liga (musim pendek akibat Covid-19) tetapi tidak pernah 90 minit penuh kerana masih dibelenggu kecederaan. Akhirnya pada musim itu, kontraknya tidak disambung dan dia pulang ke Sepanyol. Rufino sempat menyatakan hasratnya untuk kembali ke sini sebagai jurulatih suatu hari nanti.

Yang menariknya, sementara masih mencari pasukan di negara asalnya, dia dilihat sempat mengasaskan sebuah firma konsultasi hartanah dan menjawat jawatan CEO.

Apa pun bidang yang diceburinya selepas ini, di atas atau pun di luar padang, sudah pasti kita di Selangor mengucapkan “buena suerte, amigo” buat legenda dan bekas mesin pencetak gol Gergasi Merah ini.

Baca juga: Selangor lubuk penyerang unggul, tapi dikecewakan kebocoran

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.