Namathevan Arunasalam, Amri Yahyah, Sabah FC

‘Keputusan mudah’ bakal bantu Selangor di Kota Kinabalu

Ketua jurulatih, Karsten Neitzel hanya mahukan tiga mata penuh dalam perlawanan Liga Super Sabah FC-Selangor FC, Ahad, 5 September ini.

Selepas dikecewakan Melaka United minggu lalu menerusi jaringan penyamaan saat akhir, Gergasi Merah perlu bangkit dalam dua perlawanan terakhir liga, skuad Badak malam ini, dan Petaling Jaya City minggu hadapan. Anak-anak buah Karsten kini berada di tangga kelima dengan 33 mata, diasak rapat Kuala Lumpur City dengan jumlah mata yang sama.

Sabah pula telah menjalani lapan perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan, dan baru-baru ini merehatkan ketua jurulatih mereka Kurniawan Dwi Yulianto setelah dibelasah pasukan tangga tercorot UiTM FC 4-0 minggu lalu. Namun begitu, pasukan Malaysia Timur ini sudah selamat dari ancaman penyingkiran liga.

Jurulatih yang berasal dari Jerman ini berkata yang mereka hanya mahukan kemenangan dalam aksi baki liga dan perlawanan Sabah FC-Selangor FC .

“Bagi saya setiap peluang yang ada tidak kira besar atau kecil, kita harus memperjuangkannya dan mencuba segala-galanya untuk menamatkan liga di kedudukan tertinggi. Jadi, tiga mata adalah sasaran dalam dua perlawanan akhir saingan Liga Super musim ini.

“Walaupun Selangor kehilangan beberapa pemain tonggak namun saya tidak menjadikan ianya alasan kerana kita mempunyai barisan pemain yang bagus dalam pasukan. Paling penting adalah prestasi kita di atas padang untuk menjadi antara pasukan yang terbaik.

“Saya percaya setiap pemain akan lakukan sehabis baik dalam padang sebentar malam ini dan barisan kejurulatihan telah membuat persiapan yang perlu untuk mereka untuk beraksi menentang Sabah. Tidak lupa juga barisan pemain muda yang telah menambah seri pasukan musim ini, mereka masih mencari rentak permainan tersendiri, namun saya yakin mereka akan sentiasa berikan yang terbaik,” jelas Karsten seperti yang dipetik dari laman sesawang kelab.

Sementara itu, bekas pengendali Holstein Kiel itu menyatakan kepada Berita Harian bahawa sasaran memungut tiga mata penuh ini akan dibantu kepulangan pertahanan tengah Sharul Nazeem Zulpakar, yang digantung bagi perlawanan sebelum ini.

“Afro (Sharul) akan kembali. Itu (keputusan) yang mudah.

“Sudah tentu kita kecewa dengan keputusan seri sebelum ini tetapi saya tahu pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita akan bangkit pada aksi seterusnya berdepan Sabah FC.

“Kita ke sana dengan sasaran meraih tiga mata. Itu (kemenangan) memang sentiasa menjadi sasaran kita.”

Baca juga: Preview: Sabah FC lwn Selangor FC

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.