pertukaran strategi bantu Danial

Apa yang kita lihat dalam pertemuan Sabah-Selangor

Selangor FC bangkit dari kekecewaan saat akhir minggu lalu dalam Liga Super, untuk membenam Sabah FC 6-0 di Stadium Likas. Banyak yang berlaku dalam pertembungan minggu kedua terakhir liga musim 2021 ini, dan mari kita rungkaikan kejadian-kejadian menarik yang dapat kita saksikan dalam pertembungan Sabah vs Selangor.

Dayo hampir kempunan hatrik

Penyerang Gergasi Merah yang sedang bersaing merebut anugerah kasut emas liga buat kali kedua berturut-turut, Ifedayo Olusegun tidak perlu menunggu lama untuk kembali merampas takhta carta. 20 minit perlawanan berlangsung, Dayo menyumbat dua gol yang hanya dipisahkan dua minit, cukup untuk memecahkan rekod gol individu terbanyak semusim liga, yang sebelum ini dipegang Mohamad Ghaddar. Tapi ini belum lagi menjarakkannya dengan pencabar terdekat anugerah kasut emas secara selesa, jadi pemain berpasport Bahrain ini perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lagi, dan melengkapkan hatrik.

Yang peliknya selepas itu, rakan-rakan sepasukan Ifedayo pula yang tamak untuk mendapatkan gol, terutamanya dalam separuh masa pertama. Mukhairi Ajmal dilihat bernafsu, Syahmi Safari turut lapar. Kadang-kadang geram pula melihat cubaan-cubaan mereka tidak menemui sasaran, sedangkan Ifedayo nampak memiliki ruang. Namun nasib akhirnya menyebelahi Ajmal, apabila cubaannya sejurus sebelum separuh masa pertama tamat menemui jaring, bagi gol Liga Super yang pertama buatnya.

Skrip sama berulang selepas waktu rehat, yang sebenarnya bukanlah satu kritikan pun jika dilihat bahawa Merah Kuning menambah dua lagi gol, menerusi Nor Hakim Hassan dan Danial Asri masing-masing. Sementara itu Ifedayo ada mendapat peluang-peluang, cuma tidak menemui sasaran. Namun begitu seminit sebelum tamat masa permainan, gerakan cantik dari Hakim membuka ruang untuk Dayo akhirnya merangkul jaringan ketiganya dalam perlawanan ini, dan hatrik ketiganya untuk musim ini.

Sarkunan > Konrad

Setelah dikritik teruk dalam beberapa perlawanan, pemain CDM dari Jerman Manuel Konrad akhirnya diketepikan, atas alasan kecederaan, dengan tempatnya diambil Sarkunan Krishnansamy yang mendapat kemunculan dalam kesebelasan utama kedua buat musim ini. Kalau anda lihat dalam nukilan ‘ratings‘ kami bagi perlawanan Sabah vs Selangor ini, Sara mendapat penilaian terendah disebabkan kegugupan, kesalahan-kesalahan yang dilakukannya dan kad kuning yang dia kutip.

Tapi jika dibandingkan dengan perlawanan-perlawanan Selangor sebelum ini, Sarkunan sebenarnya bermain dengan begitu baik jika dibandingkan dengan Konrad. Pemain tengah ini kerap memintas hantaran-hantaran Sabah, dan permainan secara berpasangannya dengan seorang lagi pemain tengah Oliver Buff ini membolehkan kawasan tengah Merah Kuning kekal dikawal jika salah seorang dari mereka naik ke atas.

Ada baiknya pemain dari Kajang ini kembali mendapat tempat dalam pasukan.

Pemain gantian cemerlang

Mungkin disebabkan barisan Sabah yang masih longlai, penyerang-penyerang Selangor nampak begitu tajam dan lapar di Likas. Kecuali Ifedayo, tiada pemain serangan yang lebih lapar daripada Hakim dan Danial. Kedua-dua mereka menyumbat gol hanya seminit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian!

Jika ketajaman ini dapat mereka kekalkan ke saingan Piala Malaysia, pastinya penyokong-penyokong Merah Kuning akan mula membayangkan kejayaan merangkul trofi semula.

Legenda atau mitos?

Banyak yang diperkatakan mengenai bekas ‘golden boy’ Selangor Amri Yahyah, yang pada malam itu beraksi buat skuad Badak. Ini terutamanya mengenai ayatnya dahulu apabila tidak disambung kontrak pada penghujung musim 2019, bahawa Merah Kuning tak akan menang bila berhadapan dengan pasukan yang diwakilinya.

Tapi dia sebaliknya yang kelihatan seolah-olah dimakan sumpah dalam perlawanan Sabah vs Selangor. Segalanya tak menjadi buat pemain dari Tanjung Karang ini; pertahanan tengah Sharul Nazeem Zulpakar kekal ‘steady’ walaupun ada sekali dipukul curi, manakala satu peluang keemasan yang dimilikinya dalam separuh masa kedua tak mahu masuk ibarat situasi ‘scripted loss’ dalam permainan video FIFA. Selepas wisel penamat dibunyikan, tak sempat bersalam, tak sempat sembang dengan kawan-kawan, dia terlebih dahulu meluru masuk terowong.

Jangan jaga tepi kain orang, brader

Pastinya satu pengajaran yang boleh diambil oleh pengarah teknikal pasukan Sabah adalah tak perlu disibukkan hal pasukan lain.

Walaupun bolasepak Malaysia zaman sekarang dilihat memberi peluang kepada kaki-kaki bodek dan pembuli, ada baiknya dia lihat pasukan dan tempat kerja sendiri dulu sebelum memberikan komen mengenai pasukan lain. Sudahnya, kelab yang menjadi tanggungjawab anda gagal menang dalam sembilan perlawanan berturut-turut, kini tanpa ketua jurulatih, malahan diperbudak-budakkan pula pasukan yang dahulunya menjadi sasaran komen-komen awak dahulu.

Buat pengurusan Sabah FC, berhati-hatilah dengan ‘scammer’. Mereka ini bukan siapa-siapa di negara asal mereka, tapi bila datang ke negara kita menjanjikan bulan dan bintang dan dibayar gaji yang tinggi, kemudian buat benda yang bukan-bukan pula!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.