Safuwan Baharudin idam Piala

Safuwan ‘ambil cuti’, Selangor bakal buat catatan baru?

Menurut pengumuman rasmi terbaru kelab, seorang lagi pemain bakal terlepas aksi Piala Malaysia, apabila pemain serba-boleh Safuwan Baharudin ‘ambil cuti’ dari Selangor bagi memenuhi komitmen pasukan kebangsaan bersama-sama pasukan Singapura.

Kredit foto Selangor FC

Pemain berusia 30 tahun ini telah dipanggil pasukan Singa bagi menyertai dua perlawanan persahabatan rasmi di dalam jendela antarabangsa FIFA di Dubai, UAE. Mereka akan menentang Republik Kyrgyz pada 11 November dan Maghribi lima hari kemudiannya. Dia kini telah berada di Dubai bersama-sama pasukan Singa.

Singapura, sama seperti banyak lagi pasukan kebangsaan Asia Tenggara yang lain, kini sedang melakukan persiapan bagi Kejuaraan AFF 2020 yang akan dilangsungkan bulan depan. Mereka akan menjadi tuan rumah edisi pertandingan yang telah tertangguh dari tahun lalu akibat wabak Covid-19.

Menurut kenyataan tadi yang memetik CEO kelab Johan Kamal Hamidon, bekas pemain PDRM dan Pahang ini akan terlepas perlawanan terakhir Kumpulan B, menentang Perak FC malam ini dan aksi suku akhir.

“Kami juga ingin memberi sokongan terhadap tanggungjawab Safuwan untuk berbakti kepada negara kelahirannya.

“Walaubagaimanapun, Safuwan hanya tidak dapat bersama rakan sepasukan di peringkat suku akhir sahaja. Beliau akan pulang ke kem Selangor FC untuk peringkat seterusnya bagi saingan Piala Malaysia jika pasukan layak menempa tempat ke pusingan seterusnya,” jelas Johan.

Ketiadaan Safuwan Baharudin ‘ambil cuti’ juga dijangkakan menyaksikan Gergasi Merah bakal melakukan catatan baru musim ini apabila mereka beraksi di Ipoh, Perak malam ini. Dengan ketiadaannya dan juga Ifedayo Olusegun, Tim Heubach, Oliver Buff dan Manuel Konrad yang dikatakan tercedera, anak-anak buah Karsten Neitzel dijangka akan beraksi tanpa pemain import pasukan utama buat kali pertama musim ini, menentang skuad Seladang.

Namun begitu, ini tidak bermakna yang aksi Gergasi Merah malam ini langsung tidak akan mendapat khidmat pemain asing. Sepanjang musim 2021, bakat-bakat muda dari pasukan simpanan telah diberi peluang beraksi, termasuklah pemain-pemain import seperti Jordan Ayimbila, Hein Htet Aung dan Alex Agyarkwa. Terkini, seorang lagi anak muda mendapat penampilan pertama dengan pasukan utama dalam perlawanan menentang Terengganu FC Ahad lalu, iaitu penyerang George Attram.

Keempat-empat mereka dijangka akan sekali lagi menggalas tanggungjawab beraksi malam ini, dalam perlawanan yang bersifat pelengkap jadual setelah Selangor sah layak ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan. Jika mereka bermain baik, siapa tahu mereka berkemungkinan dapat kekal dalam kesebelasan utama bagi saingan kalah mati, dan juga dalam musim hadapan.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.