Safuwan Baharudin mahu kembali

Safuwan disenaraikan Singapura, tarikh kem bertembung Piala Malaysia?

Setelah menunjukkan persembahan baik bersama Gergasi Merah musim ini, pemain pertahanan Safuwan Baharudin disenaraikan Singapura dalam panggilan awal bagi saingan Piala AFF 2020 nanti.

Kredit foto utama Selangor FC

Biarpun dibelenggu masalah kecederaan buat beberapa ketika pada pertengahan musim ini, pemain berusia 30 tahun ini sempat kembali bagi penamat Liga Super dan permulaan kempen Piala Malaysia. Kepulangan bekas pemain Pahang dan Melbourne City ini dan pengalamannya memang dinanti-nantikan ketua jurulatih Karsten Neitzel bilamana skuadnya sedang menghadapi krisis kecederaan yang menyaksikan mereka terpaksa bergantung kepada pemain-pemain muda.

Sudah pasti prestasinya bersama Gergasi Merah diketahui barisan kejurulatihan Sang Singa, dan menyaksikan Safuwan dipanggil dalam senarai awalan mereka bagi kejohanan Asia Tenggara itu. Senarai ini turut menampilkan M. Anumanthan yang kini beraksi dengan Kedah DA, bekas pemain JDT Hariss Harun, bekas pemain Melaka United Shahdan Sulaiman, bekas pemain Kedah dan Perak Shakir Hamzah, dan juga bekas pemain PKNS FC Faris Ramli.

Singapura telah memenangi kejohanan ini sebanyak empat kali, dan kali terakhir mereka memenanginya, pada edisi 2012, merupakan satu-satunya Piala AFF yang pernah dimenangi Safuwan. Yang menariknya, Safuwan sehingga kini telah melakukan 96 penampilan untuk Sang Singa, yang bermakna dia hanya memerlukan empat lagi penampilan untuk memasuki senarai ‘100 caps’ bagi negaranya.

Senarai awalan 27 pemain ini kemudiannya akan dikecilkan kepada skuad akhir 23 pemain oleh ketua jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida sebelum kejohanan bermula.

Negara republik itu baru-baru ini memenangi kelayakan menjadi hos edisi 2020, yang telah tertangguh setahun akibat wabak Covid-19, dan mereka pasti ingin menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah bagi mendapatkan kejuaraan kali kelima.

Namun satu hakikat dilihat merisaukan apabila Safuwan Baharudin disenaraikan Singapura; tarikh latihan berpusat skuad Singapura bertembung dengan saingan Piala Malaysia yang dilalui Safuwan, dan juga Anumanthan. Kem Singapura dijadualkan bermula pada 25 Oktober sehingga permulaan Piala AFF pada 5 Disember, manakala Piala Malaysia yang sekarang berehat seketika akan bersambung semula pada 29 Oktober dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 30 November.

Follow laman Facebook kami untuk kekal mengikuti perkembangan Selangor FC!

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.