Safuwan Baharudin idam Piala

Safuwan kecewa Selangor hanya pergi sejauh suku akhir

Agak pelik yang biarpun pasukan kebangsaan Singapura beraksi baik dalam Piala AFF 2020 hujung tahun lalu, hanya Selangor FC yang menjadi satu-satunya pasukan Liga Super Malaysia yang ada menggaji pemain negara republik itu musim ini. Tahun ini, Safuwan Baharudin idam Piala Malaysia, satu-satunya piala utama yang belum didakapnya selepas beraksi sebelas musim dalam liga Malaysia untuk pelbagai pasukan.

Kredit foto Selangor FC

Majoriti kerjaya bolasepak peringkat kelab pemain utiliti ini telah dihabiskan di negara jirannya, bersama LionsXII, PDRM, Pahang dan kini Selangor. Dia juga tidak asing dengan kejayaan, memenangi Liga Super 2013 dan Piala FA 2015 bersama LionsXII, dan Piala FA 2018 bersama Pahang (ironisnya mengalahkan Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir).

“Rasa macam tak percaya, pejam celik, pejam celik sudah 11 tahun, liga paling lama pernah jadi tempat saya beraksi.

“Kejayaan paling manis adalah kejuaraan-kejuaraan 2013, 2015 dan 2018,” jelasnya kepada Malaysian Football League.

Namun pemain berusia 30 tahun ini tidak pernah berjaya merangkul gelaran juara Piala Malaysia, dan dia menyatakan dalam temuramah ini bahawa tahun 2022 adalah masa yang terbaik untuk memenanginya, kerana Gergasi Merah juga telah lama tidak merangkul apa-apa kejuaraan setelah memenangi kejuaraan Piala Malaysia ke-33 pada musim 2015.

“Memang betul [rasa tak sempurna selagi belum memenangi piala bersama Selangor]. Selangor sudah lama tak mencapai apa-apa sasaran sejak lima, enam tahun lalu, dan agak mengecewakan kerana saya sudah melalui dua tahun bersama Red Giants, dan peringkat suku akhir adalah paling jauh kami dapat pergi.

“Kebetulan, Piala Malaysia adalah satu-satunya trofi [utama Malaysia] yang belum saya menangi. Jadi saya harus buat yang terbaik bukan saja untuk menangi Piala Malaysia, tetapi juga sasaran-sasaran lain,” katanya kepada wartawan Dayne Azmin.

Penyokong pastinya mengharapkan bahawa hakikat dia belum pernah menjuarai trofi berprestij itu dan prestasi baiknya dalam Piala AFF tahun lalu akan meniup semangat Safuwan Baharudin idam Piala Malaysia musim ini.

Apatah lagi, dia sudah beberapa kali menyuarakan hasrat mahu kembali muncul juara sejak penghujung tahun lalu.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.