Safwan Majid penaja baru Selangor FC

Kerja sentiasa berjalan, Selangor tambah penaja

Sedang pihak yang tiada kaitan dengan Selangor sibuk memfitnah kelab ini, pengurusan Gergasi Merah secara diam-diam kekal bekerja keras memastikan kelangsungannya. Pada Khamis, 2 September, seorang pengguna Twitter bernama Safwan Majid memuatnaik sekeping foto majlis tandatangan kontrak ringkas di pejabat kelab. Turut dilihat dalam gambar ini adalah Safwan, CEO kelab Johan Kamal Hamidon dan seorang pegawai wanita yang tidak dikenali.

Yang menariknya, tiap-tiap mereka memegang muka depan satu dokumen yang bertulis ‘Sponsorship Agreement’ (Perjanjian Penajaan). Sudah pasti ini menandakan yang Merah Kuning mendapat penaja baru.

Setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi dari mana-mana pihak, tetapi siapakah rakan kongsi baru Selangor ini? Hasil ‘Google-Fu’ kami, Safwan Majid merupakan pakar pergigian muda yang telah memenangi anugerah yang berasal dari Kangar, Perlis.

Dia mempunyai sebuah klinik pergigian, Klinik Pergigian Bandar Puteri di Bandar Puteri, Puchong. Di samping itu, beliau juga turut ‘tag’ sebuah lagi klinik di gambar Twitter itu; Klinik Pergigian Avisienna. Menurut laman sesawang klinik ini, mereka memiliki hampir 10 cawangan di seluruh negara, dan Safwan merupakan salah seorang doktor yang berkhidmat.

Penulis tidak dapat memastikan klinik yang mana merupakan penaja baru Gergasi Merah dan juga bentuk penajaan. Apabila laman Merah Kuning 24/7 yang baru ini memulakan operasi menemuramah pegawai, pemain dan lain-lain secara terus nanti, sudah pasti kami akan menghubungi mereka untuk maklumat tambahan.

Belum ada pengumuman rasmi yang dikeluarkan kelab mengenai penajaan ini, tetapi seorang pegawai FA Selangor Aladdin Mostafa ada menulis ‘tweet’, “Selamat datang ke kelab terbaik Malaya, Selangor FC”

Namun jika dilihat dari penaja-penaja sedia ada, sudah pasti penyokong-penyokong Selangor akan turut dapat merasai manfaat dari penajaan baru. Jangan lupa yang pemegang-pemegang pas bermusim dan kad pasukan turut menikmati diskaun bagi produk-produk dan perkhidmatan yang ditawarkan rakan-rakan kongsi kelab ini. (Lihat senarai rakan kongsi kelab di sini)

Penyokong setia Merah Kuning juga harus mengapresiasi dan menggunakan peluang hasil kerja keras kelab, dengan cara mendaftar untuk mendapatkan kad pasukan masing-masing. Manalah tahu untuk temujanji pemeriksaan atau cuci gigi kita yang akan datang, kita boleh dapatkannya dengan harga diskaun?

Baca juga: Tak perlulah sibukkan orang lain

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.