Saingan 2022 Selangor MAC

Usaha Selangor MAC pertahan kejuaraan MPFL bermula hujung minggu ini

Saingan 2022 Selangor MAC, pasukan futsal yang mewakili Selangor FC akan bermula hujung minggu ini dengan bermulanya kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) tahun ini, pada hujung minggu ini.

Kredit foto Selangor MAC

Setelah dua tahun tidak dapat dijalankan akibat wabak Covid-19, kejohanan terulung sukan futsal negara ini kembali tahun ini. MAC merupakan juara edisi pertama kejohanan ini pada 2019.

Kejohanan tahun ini disertai 15 pasukan termasuk MAC dan dijalankan sebanyak sembilan sirkit, dengan setiap pasukan bermain sebanyak 14 perlawanan. Lapan pasukan teratas kemudiannya akan layak ke Piala Futsal Malaysia 2022. Sabah dan Melaka dilaporkan telah menarik diri di saat akhir.

Sirkit pertama akan berlangsung dari 14 hingga 16 Januari, hujung minggu ini di Kompleks Sukan Negara (Panasonic), Shah Alam. Sirkit kedua pula akan dilangsungkan di lokasi yang sama pada hujung minggu seterusnya, 21-23 Januari. Jadual dan lokasi bagi sirkit seterusnya masih belum diumumkan secara lanjut oleh penganjur, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Saingan 2022 Selangor MAC bermula dalam sirkit pertama dengan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu, 10.30 pagi, dan Kuala Lumpur pada esok harinya, pada waktu yang sama.

Dalam sirkit kedua mereka akan bertemu PDRM FC jam 3.00 petang Sabtu, dan KL City esoknya jam 8.30 malam.

Butir-butir tiket penyokong dan juga SOP COVID-19 tidak diumumkan secara jelas oleh FAM. Walaupun Merah Kuning 24/7 ada melihat pengumuman harga tiket RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, tidak jelas sama ada ini harga bagi satu perlawanan, satu hari pertandingan atau seluruh sirkit.

Siaran langsung pula tidak lagi ditayangkan di Astro Arena, sebaliknya ada di saluran ‘pay-per-view’ dengan harga yang agak ‘keras’, iaitu RM7.90 bagi setiap perlawanan.

Musim ini MAC kekal dipimpin Mimi Afzan Afza sebagai pengurus dan Addy Shairyllyzam Shafiee sebagai ketua jurulatih, dan menampilkan pemain import Brazil Matheus Vasconcelos Silva, pemain veteran pasukan Malaysia Azrul Hadee Taufiq dan kapten Malaysia Khairul Effendy Bahrin. (Kami seru anda baca pengenalan anggota-anggota skuad di laman Instagram pasukan, memang menghiburkan)

Yang menariknya, kejohanan kali ini turut menampilkan dua lagi pasukan yang beridentitikan Selangor, iaitu Shah Alam City dan Selangor TOT United.

Buat masa ini, masih belum ada perkembangan mengenai saingan liga futsal wanita musim ini, sedangkan ia dapat dijalankan pada tahun 2019.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.