Santokh Chin Ann

Legenda Selangor Santokh, Chin Ann jadi panelis program pekerjaan PERKESO

Legenda bolasepak Selangor, Datuk Santokh Singh dan Datuk Wira Soh Chin Ann merupakan dua bekas pemain Merah Kuning yang turut dikenali sebagai wira-wira yang terpahat dalam memori peminat pasukan Malaysia.

Pada tahun 1979, mereka dan rakan-rakan sepasukan membawa Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik di Moscow. Walaupun negara kemudiannya memboikot temasya itu kerana pencerobohan Afghanistan oleh Kesatuan Soviet, pencapaian ini masih terpahat dalam sejarah bolasepak Malaysia sehingga hari ini.

Walaupun telah lama menggantung but, kedua-dua mereka masih mengekalkan penglibatan dalam sukan ini, dan juga menyumbangkan khidmat pada negara.

Tidak lama lagi, mereka akan membantu skim keselamatan sosial negara, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai ahli-ahli panel sebuah program yang dianjurkan badan itu. Seorang lagi ahli pasukan Malaysia yang turut layak ke Olimpik bersama Santokh dan Chin Ann, bintang Sabah James Ong turut akan menyertai program ini.

Menurut kenyataan rasmi dari PERKESO, inilah tujuan program itu dianjurkan.

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan International Public Employment Forum 2021 (IPEF 2021) dengan matlamat untuk membantu mempersiapkan orang ramai terutamanya golongan majikan, pekerja dan pencari kerja dengan maklumat serta berkongsikan amalan terbaik bagi membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19.

“Forum antarabangsa yang dianjurkan secara maya ini bakal menghimpunkan tiga program berbeza di bawah satu bumbung dan akan diadakan secara serentak, bermula 6 hingga 9 September 2021. Program-program tersebut adalah SOCSO’s Regional Return to Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 (6 – 7 September), International Public Employment Services Symposium (7 – 8 September) dan Ekspo Kerjaya (7 – 9 September). Ketiga-tiga program ini adalah terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dan penyertaannya adalah percuma.”

Menurut PERKESO, Santokh dan Chin Ann merupakan antara ramai panelis jemputan bagi “platform perkongsian idea dan bertukar pandangan daripada pakar-pakar dalam pasaran buruh negara mengenai langkah-langkah membangunkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.”

Santokh bermain untuk pasukan negeri Selangor dari tahun 1972 hingga 1985 dan tidak pernah bermain dengan pasukan negeri lain, manakala Chin Ann bermain untuk Merah Kuning dari 1971 hingga 1978, dan turut pernah bermain untuk negeri kelahirannya (1969-’70, 79-’85, ’88).

Pendaftaran bagi program PERKESO ini boleh dibuat mulai sekarang menerusi pautan www.perkeso.gov.my/ipef. Diulangi, penyertaan adalah percuma.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.