Piala Malaysia

Karsten nyatakan sasaran Piala Malaysia Selangor

Usai perlawanan terakhir Liga Super 2021 Selangor FC tempoh hari dengan kekalahan mengejut 2-1 kepada Petaling Jaya City, ketua jurulatih Karsten Neitzel mengalihkan tumpuannya kepada cabaran seterusnya pula. Selepas perlawanan di Stadium MBPJ Ahad lalu, dia menjelaskan sasaran Piala Malaysia Selangor bagi tahun ini, yang juga tahun keseratus pertandingan ini.

Kredit foto utama: Zulhilmi Zainal/Goal

Bercakap kepada wartawan, pengendali dari Jerman ini mengharapkan kepulangan pemain-pemainnya yang kini cedera, bagi menempuh kejohanan Piala Malaysia.

“Kami telah menghadapi masalah ini sejak sembilan perlawanan lalu, iaitu ketiadaan pemain-pemain utama. Kami tak pernah merungut mengenainya, hari ini Oli (pemain tengah Oliver Buff) tiada tapi kami ada pemain-pemain lain yang boleh menggalas tugasnya dan harapnya ramai akan kembali untuk Piala Malaysia.

“Safuwan [Baharudin], [Mukhairi] Ajmal, Oli, Manu (Manuel Konrad), Tim [Heubach], Eky (Shahrel Fikri Fauzi). Begitu ramai pemain,” ujar Karsten.

Di samping itu, Halim Saari dan Brendan Gan turut tidak dapat bermain buat jangka masa panjang.

Dari senarai di atas, Ajmal, Oliver dan Manuel merupakan kecederaan-kecederaan terbaru, dan Karsten berkata yang mereka dijangka pulih dalam tempoh seminggu dua lagi.

Melihat dari senarai kecederaan yang panjang ini, sudah tentu ia menghairankan bila Selangor sudah mula menitikberatkan aspek kecergasan, ketahanan, latihan dan perubatan pemain-pemain. Karsten menafikan yang anak-anak buahnya tidak berada di tahap kecergasan terbaik untuk melaksanakan perancangan beliau di atas padang, bila ditanya Merah Kuning 24/7.

“Oh tidak, tidak sama sekali. Selepas 10 bulan, mereka bersedia. Bukan semua mereka mengalami cedera otot, seperti Eky, Halim dan Brendan contohnya. Pemain-pemain mendapat rehat yang cukup dan sesi latihan kami pendek sebenarnya, walaupun berintensiti tinggi.”

Ditanyakan mengenai sasaran Piala Malaysia Selangor FC, dia menjelaskan yang juara Piala Malaysia 33 kali ini tidak diberikan sasaran khusus tahun ini.

Baca juga: Ayuh pergi Asia bossku, rangkul Piala Malaysia 2021!

“Menang perlawanan, sudah tentu,” jawabnya. “Sasaran kami adalah untuk pergi sejauh boleh dalam pertandingan ini. Saya tak boleh kata saya mensasarkan layak ke suku akhir, separuh akhir atau akhir, kami mahu bersedia dengan rapi dan pergi sejauh mungkin.

“Saya tahu apa yang penyokong harapkan dan kami akan buat segalanya untuk mencapai sasaran yang jelas; untuk pergi sejauh mungkin.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.