Tengku Amir Shah Selangor 15 minit terakhir bermasalah

Video: RMS – ‘Masalahnya adalah pada 15 minit terakhir’

Saingan Piala Malaysia bakal berlangsung hujung minggu ini, dengan beberapa isu yang ketara dalam saingan Liga Super sebelum ini masih belum dapat diselesaikan oleh barisan kejurulatihan Selangor FC. Salah satu dari masalah ini ada disuarakan oleh pengerusi kelab, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin sendiri, iaitu kesulitan Selangor 15 minit terakhir permainan.

Kredit tawan skrin Selangor FC

Ini disuarakan baginda Raja Muda Selangor sendiri dalam sebuah video yang dimuatnaik kelab di akaun Youtube mereka pada hari Sabtu. Gergasi Merah akan memulakan kempen Piala Malaysia 2021 pada Ahad, 26 September dengan melayani kunjungan Perak FC.

Dalam video itu, Tengku Amir dilihat bermesyuarat dengan pengarah bolasepak kelab, Michael Feichtenbeiner dan ketua jurulatih pasukan utama, Karsten Neitzel sebelum sesi latihan pasukan di Pusat Latihan FAS, sambil ditemani ketua pegawai eksekutif, Johan Kamal Hamidon.

Walaupun butiran mesyuarat ini tidak didedahkan, dalam video ini Karsten dapat dilihat memberi pembentangan taktikal kepada Tengku Amir yang turut dikenali di kalangan penyokong sebagai RMS.

Namun begitu, apa yang dikongsikan dengan jelas kepada penyokong adalah petikan dari pertemuan di tepi padang latihan di antara Tengku Amir dan pemangku ketua pasukan, Syahmi Safari yang dipercayai berlangsung di lokasi dan hari yang sama.

Baginda mengutarakan isu kemerosotan prestasi pasukan pada tempoh akhir perlawanan kepada pemain pertahanan kanan ini, bilamana Selangor kerap dibolosi dalam tempoh 15 minit perlawanan, dan akibatnya keciciran mata atau langsung kalah. Menurut perkiraan Merah Kuning 24/7, 11 dari 30 gol (36.67 peratus) yang dilepaskan Selangor musim ini berlaku dari minit ke-75 hingga tamat perlawanan.

“Dari apa yang saya nampak dalam ‘game’ sekarang, semua pemain elok, semua taktik pun elok. Tapi yang susah sekarang adalah ‘last’ 15, 20 minit; nak kekalkan stamina.”

Ini penjelasan yang diberikan oleh Syahmi kepada baginda:

“Dari permulaan musim kami ada masalah kecederaan kepada pemain-pemain senior contohnya Safuwan [Baharudin]. Mereka ni ibarat pemandu yang memimpin pasukan yang ada ramai pemain muda seperti kita.

“Insya Allah, kepercayaan kepada saya dan Safuwan sebagai kapten pasukan akan kami balas dengan buat yang terbaik. Kita ramai pemain muda yang bagus, dan saya sebagai bekas pemain muda pun pernah lalui, tapi cepat hilang tumpuan dan perlu dipimpin pemain-pemain senior.”

Diharapkan dengan perhatian peribadi yang diberikan oleh Tengku Amir ini, Gergasi Merah akan bermain lebih baik dalam Piala Malaysia, dan penyokong tidak lagi akan dikecewakan Selangor 15 minit terakhir perlawanan.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.