Rusdi Suparman mahu hasilkan

Rusdi bangga Gergasi Muda dominasi senarai Malaysia B-23

Biarpun pasukan Selangor FC 2 hanya seri dengan Kuching City dalam perlawanan Liga Premier mereka pada Sabtu, 28 Ogos, penolong jurulatih Rusdi Suparman tetap berbangga deangan apa yang ditunjukkan mereka di atas dan luar padang.

Dalam perlawanan pusingan ke-20 yang berlangsung di Stadium Pasir Gudang, anak-anak buah Michael Feichtenbeiner merekodkan keputusan seri kali ketiga berturut-turut.

Selesai perlawanan, Rusdi yang bercakap kepada media bagi pihak Michael menyatakan perubahan-perubahan yang telah dilakukan dalam kesebelasan utama Gergasi Muda bagi menghadapi Kuching.

“Untuk pengetahuan anda, kami menurunkan pemain-pemain yang kurang minit permainan. Ada dua, tiga pemain kami yang telah diserap ke pasukan utama (di Liga Super) malam ini jadi kami tak ada banyak masa untuk buat persediaan. Pasangan ‘centreback’ kami belum pernah diturunkan bersama, hari ini kali pertama.

“Pemain pertahanan kanan utama kami cedera pada saat akhir, dan yang kami turunkan tadi Aidil [Azuan] baru tamat kuarantin [Covid-19]. Penjaga gol Sikh [Izhan Nazrel] cedera dan kami gantikan dengan Aqil [Fadhly Yusop] dan baru digabungkan dengan barisan pertahanan yang turun tadi. Sebab itu kita nampak tidak stabil, tapi Alhamdulillah keputusan perlawanan memuaskan hati kami.

“Penyerang kami George [Attram] juga baru pulih dari cedera dan diturunkan tadi, dan terus dapat menjaringkan gol. Dia kini penjaring terbanyak dengan sembilan gol,” jelasnya.

Dengan liga berbaki dua perlawanan buat pasukan muda ini tanpa risiko tersingkir, objektif mereka masih kekal sama.

“Kalau boleh kami nak perbaiki lagi kedudukan dan terus membawa pemain-pemain ke Liga Super (pasukan utama). Ramai pemain-pemain kami sebelum ini sudah pun berada di atas dan dapat kekal dalam kesebelasan utama.

“Dari pengamatan saya, pemain-pemain muda yang dapat bermain di Liga Premier satu musim, Insya Allah akan matang pada tahun seterusnya,” tambah Rusdi.

Wartawan juga bertanyakan mengenai pemain-pemain pasukan simpanan yang baru-baru ini disenaraikan dalam fasa pertama kem latihan Malaysia B-23 pada awal September, bagi persediaan pusingan kelayakan Piala Asia B-23. Anak-anak muda Selangor FC 2 mendominasi senarai 27 pemain ini, seramai 10 orang.

Bekas pemain Selangor dan Malaysia itu tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya dengan perkembangan ini.

Baca juga: Izhan, 9 rakan sepasukan dipanggil ke kem latihan

“Ini belum lagi masuk pemain-pemain yang bermain di Liga Super!” jelas Rusdi. “[Mukhairi] Ajmal, Zikri [Khalili] contohnya tak dipanggil ke fasa pertama, kerana saingan divisyen satu masih berjalan. Kita boleh lihat yang peluang untuk pemain-pemain muda bukan hanya menguatkan pasukan utama, tapi juga pasukan kebangsaan. Itu yang paling penting sekarang ni.

“Kalau kita imbas kembali, zaman 1990-an pemain Selangor yang ‘perform’ pasti dapat panggilan pasukan Malaysia. Insya Allah, selagi pemain-pemain ini mendapat perlawanan ‘high intensity’ di Liga Premier, mereka akan dapat bermain baik di peringkat antarabangsa.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.