Selangor 2-Terengganu II, Syazwan Salihin

Feichtenbeiner: Selangor 2 kalah kepada pasukan yang lebih bijak

Apabila pasukan utama di Liga Super sedang melalui enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah, Selangor FC 2 di Liga Perdana pula sedang melalui enam perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan. Paling terbaru, mereka tumpas 4-1 dalam perlawanan Selangor 2-Terengganu II di Stadium MBPJ pada Jumaat, 10 September.

Kredit foto utama Malaysian Football League

Ketua jurulatih pasukan dan juga pengarah bolasepak kelab, Michael Feichtenbeiner menyifatkan yang mereka tumpas kepada sebuah pasukan yang lebih pintar, dalam pertembungan Selangor 2-Terengganu II ini.

“Mereka (Terengganu II) tidak menguasai perlawanan, tetapi mereka bermain secara lebih bijak dan pintar, dan mengambil kesempatan atas kesilapan-kesilapan besar yang dibuat pemain kami. Pada mulanya kedua-dua pasukan bermain sama baik, tetapi selepas gol pertama [Terengganu 2] semangat Sikh (penjaga gol, Sikh Izhan) dan rakan-rakan sepasukan mula tergugat. Gol kedua mereka pula adalah ibarat hadiah dari kami.

“Saya memberitahu pemain-pemain pada waktu rehat yang mereka harus bangkit kerana dalam perlawanan di Terengganu (semasa awal musim) kami turut ketinggalan 2-0 sebelum dapat menyamakan kedudukan. Namun sebaliknya pasukan saya melepaskan gol ketiga yang juga merupakan satu lagi kesalahan sendiri, dan ini menyukarkan lagi keadaan.

“Terengganu bermain lebih bijak dari kami, tapi mereka menyenaraikan pemain-pemain berusia 29, 26, 25 dan 24 tahun, yang paling muda berumur 21 tahun, sedangkan pemain-pemain kami dalam lingkungan umur 18 ke 21 tahun, empat, lima tahun lebih muda dari mereka. Ini adalah peluang untuk belajar dari satu pasukan yang bermain dengan lebih pintar dan pengalaman dari kami,” jelas pengendali yang berasal dari Jerman ini.

Skuad Gergasi Muda kini berada di tangga keenam liga dengan 24 mata dan berbaki satu lagi perlawanan, menentang Kelantan FC pada 21 September.

Sementara itu, pada masa yang sama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Negeri Sembilan merampas takhta liga dari Sarawak United melalui kemenangan 1-0 dalam sebuah perlawanan yang penuh kontroversi dan aksi-aksi panas. Francis Kone menebus kesalahannya gagal menyumbat sepakan penalti dengan menjaringkan gol tunggal perlawanan di minit-minit akhir saingan. Kedua-dua pasukan ini telah pun mengesahkan tempat ke Liga Super musim 2022.

Baca juga: Pemain Selangor 2 tamatkan kontrak enam bulan awal

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.