Selangor 2022 kembalikan orang

Selangor kembalikan ‘orang kuat’ Penang, kekalkan tiga pemain

Hari Selasa, 23 November menyaksikan Gergasi Merah hanya mengumumkan perkembangan terbaru bagi skuad musim akan datang di media sosial mereka. Masa depan empat orang pemain telah disahkan, dengan Selangor 2022 kembalikan orang kuat Penang FC musim ini.

Kredit foto Selangor FC

Tiga orang pemain skuad utama diumumkan akan kekal musim depan, iaitu penjaga gol Khairulazhan Khalid, pertahanan tengah Ashmawi Yakin dan juga pemain serangan Nor Hakim Hassan.

Khairulazhan atau turut dikenali sebagai Yan telah berada dengan Selangor FC sejak musim 2016 dan merupakan pemain paling senior dalam skuad, dari tempoh penyertaan. Penjaga gawang yang berusia 32 tahun ini turut merupakan penjaga gol Malaysia dan telah melakukan 120 penampilan bersama Gergasi Merah. Dari 30 aksi Selangor musim ini, anak Pahang ini telah beraksi dalam 28 perlawanan dan mencatatkan lima ‘clean sheet’. Yan kini berada bersama Harimau Malaya bagi persediaan untuk Kejuaraan AFF 2020 bulan hadapan.

Walaupun dia akan kekal bersama pasukan dengan reputasi sebagai pemain utama, tempatnya berkemungkinan dicabar setelah timbulnya desas-desus yang penjaga gol Penang FC Sam Somerville akan menyertai Selangor bagi musim depan.

Sementara itu, Ashmawi yang berusia 27 tahun juga dilihat semakin memanjat tangga ‘seniority’ setelah turut kekal dengan Selangor musim depan. Hadir pada musim 2018 dari Negeri Sembilan, dia pada mulanya hanya memainkan peranan pemain sokongan dalam skuad. Namun pada musim ini dia mendapat tanggungjawab yang lebih besar dengan 18 penampilan keseluruhan dan satu gol, berbanding 14 dalam musim-musim sebelumnya.

Bagi Hakim pula, musim 2021 merupakan musim ‘pertama’ buatnya biarpun telah dibawa ke Shah Alam dari Perak dari musim 2020 lagi. Mengalami cedera ACL sebaik saja menyertai Selangor, dia menjalani pemulihan selama setahun sebelum dapat melakukan ‘debut’ untuk Merah Kuning awal musim ini. Beraksi keseluruhannya sebagai pemain giliran, penyerang berusia 30 tahun ini telah melakukan 25 penampilan dan menghasilkan satu gol dan lima bantuan gol.

Namun berita yang ditunggu-tunggu penyokong Selangor sudah pastinya skuad Selangor 2022 kembalikan orang kuat Penang FC; iaitu Quentin Cheng. Menurut pengumuman, pemain berusia 22 tahun ini telah memanjangkan kontraknya sehingga musim 2022 dan akan kembali ke Shah Alam.

Bekas pemain Selangor 2 itu telah dipinjamkan ke skuad Harimau Kumbang bagi musim 2021, dan pemain Malaysia-Australia itu menampilkan aksi memukau di Pulau Mutiara. Dia muncul dalam kesemua 22 aksi Penang dalam Liga Super musim ini dan merupakan pemain dengan minit permainan liga tertinggi dalam skuad itu. Lima bantuan golnya turut membantu Penang menamatkan aksi liga di tangga ketiga, dan dia juga telah membantu Malaysia B-23 layak ke Piala Asia B-23 tahun depan. Malah dia juga telah melakukan penampilan pertamanya dengan pasukan senior Malaysia tahun ini, dan kini sedang menjalani latihan pusat bagi Kejuaraan AFF.

Setelah menampilkan persembahan baik sepanjang musim, pasti aksinya buat pasukan utama Selangor ditunggu-tunggu peminat apatah lagi posisi pertahanan kanan pasukan dikatakan bakal akan perlu diperkuatkan.

Menurut sumber Merah Kuning 24/7, lebih banyak pengumuman pemain yang kekal akan dilakukan pada minggu ini, manakala pengumuman-pengumuman pemain yang meninggalkan pasukan akan dibuat minggu hadapan.

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.