Selangor dan TDC kekalkan

Selangor dan TDC kekalkan tajaan RM3.5 juta

Menjelang musim 2022 yang bakal bermula bulan hadapan, Selangor FC sedang giat melakukan persediaan di atas dan juga luar padang. Persiapan dari segi kewangan juga sedang berjalan, dengan pengumuman baru-baru ini melibatkan penaja sedia ada TDC Holdings. Menurut pengumuman pada 3 Februari, Selangor dan TDC kekalkan perjanjian penajaan bagi musim ini.

Kredit foto Selangor FC

Bagi musim 2022, Gergasi Merah akan menerima RM3 juta dan RM500,000 lagi dalam bentuk barangan dari syarikat berasaskan produk makanan dan minuman kesihatan ini, menurut ketua pegawai eksekutif (CEO) kelab Johan Kamal Hamidon.

CEO TDC Hafizuddin Hiew Abdullah pula menyatakan liga Malaysia sebagai lokasi pemasaran strategik bagi firmanya, dengan mereka turut menaja Terengganu FC. TDC juga berminat mengekalkan penajaan bersama Selangor disebabkan “…sejarah dan kejayaan [Selangor] dalam kancah bolasepak tempatan disamping pengikut yang ramai.”

Menerusi penajaan ini, jenama TDC akan dipaparkan di jersi latihan, media sosial dan stadium Selangor, di samping jenama produk baru mereka Alithera.

Setelah Selangor dan TDC kekalkan tajaan, firma ini akan menyertai program pelancaran jersi tempat lawan 2022 Gergasi Merah di Sunway Pyramid Convention Centre pada hari ini, 4 Februari.

Sedikit melucukan, dalam setiap hantaran laman sosial Selangor yang melibatkan TDC, ejen-ejen mereka akan dilihat gigih membanjiri ruangan komen dengan usaha memasarkan produk-produk mereka.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.