Selangor datangkan penyerang Brazil

Selangor datangkan penyerang Brazil

Gergasi Merah dilihat telah melengkapkan slot pemain import pasukan utama, melalui pengumuman pada Isnin 27 Disember. Selangor datangkan penyerang Brazil, Herlison Caion de Sousa Ferreira atau lebih dikenali sebagai Caion.

Kredit foto Tuaradio.com.br/Arthur Dallegrave

Pemain berusia 31 tahun ini telah beraksi dalam liga Thailand sejak empat tahun lalu, bersama Navy, Prachuap, Chonburi dan Suphanburi dalam divisyen satu. Pada tahun 2021 (musim 2021/22) dia membintangi Muangkan United dalam divisyen dua, dan telah menghasilkan 12 gol dari 17 penampilan liga sebelum meninggalkan pasukan untuk menyertai Selangor semasa liga masih berjalan.

Sebelum itu dia pernah berkelana ke Korea Selatan, Iraq di samping bermain di negara asalnya iaitu Brazil.

Dia didatangkan untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan pemenang kasut emas Liga Super 2020 dan 2021, Ifedayo Olusegun yang dipancing tawaran yang lebih lumayan. Jangka masa kontrak Caion tidak dinyatakan.

Ketua jurulatih dan pengarah sukan Gergasi Merah, Michael Feichtenbeiner menjelaskan keputusan Selangor datangkan penyerang Brazil ini.

“Saya gembira kami dapat menandatangani dan meyakinkan Caion untuk berpindah dari Thailand ke Malaysia. Beliau telah menjadi pemain yang dikenali dan terbukti kebolehannya dalam bola sepak Thailand sejak 4-5 tahun yang lalu,

“Dengan gaya bola sepaknya, beliau boleh menyesuaikan diri dengan bola sepak peralihan yang kami mahu mainkan. Kami memerlukan pemain yang boleh menjaringkan gol dan dengan pengalamannya menjaringkan banyak gol di Asia Tenggara, saya mempunyai perasaan yang baik dan keyakinan sepenuhnya kepadanya.”

Penyerang ini pula gembira dapat menyertai Selangor.

“Mengikut rancangan yang disampaikan kepada saya, kelab ini akan berusaha untuk mencapai kejayaan bersama. Saya percaya musim ini akan menjadi tahun dimana kelab akan mendapat pencapaian yang hebat kerana saya yakin kita mampu mendapatkannya.”

Caion merupakan pemain baru keenam yang diumumkan Selangor bagi musim 2022 selepas Sam Somerville, Yazan Al-Arab, Baha’ Abdelrahman, Zahril Zabri dan Fazly Mazlan baru-baru ini.

Kehadirannya juga menyaksikan slot pemain asing pasukan utama Selangor telah lengkap, di samping Yazan, Baha’ dan pemain-pemain sedia ada Safuwan Baharudin dan Tim Heubach.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.