Selangor di Piala AFF

Rangkuman persembahan bintang-bintang Gergasi Merah di Piala AFF 2020

Sedang Piala AFF 2020 hampir menuju penamatnya di Singapura pada hujung minggu tahun baru ini, ada baiknya kita melihat semula persembahan bintang-bintang Selangor di Piala AFF edisi ke-tigabelas ini.

Kredit foto Selangor FC

Shahrel Fikri, Mukhairi Ajmal, Quentin Cheng dan Khairulazhan Khalid (Malaysia)

Seperti yang boleh djangka menerusi pemilihan skuad yang dilihat sengaja ditempangkan, kempen kali ini merupakan edisi mengecewakan bagi naib juara tahun 2018. Biarpun bermula garang dalam Kumpulan B dengan kemenangan ke atas Kemboja dan Laos, Harimau Malaya seterusnya layu dan terkulai di tangan Vietnam dan dan Indonesia dan tersingkir awal.

Pemain-pemain Selangor dalam skuad pun tidak dapat memberikan impak dalam kempen kali ini. Penyerang yang baru pulih dari kecederaan, Shahrel Fikri hanya dapat bermain sebagai pemain gantian di penghujung keempat-empat perlawanan, tanpa dapat meraih gol. Dalam aksi menentang Laos, dia terlepas sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan untuk menambah jaringan.

Mukhairi Ajmal pula menambah ‘caps’ dengan tiga penampilan, menentang Kemboja, Laos dan Vietnam, menjadikan jumlah penampilan seniornya kepada lima.

Lebih memburukkan keadaan, beberapa anggota skuad Malaysia tidak dapat beraksi akibat diuji positif Covid-19 dan terpaksa diasingkan. Hasilnya, penjaga gol Khairulazhan Khalid tidak dapat bermain satu perlawanan pun, manakala pertahanan kanan Quentin Cheng hanya masuk sebagai pemain gantian saat akhir semasa kekalahan 4-1 dengan Indonesia, untuk memungut ‘caps’ senior kedua dengan Malaysia.

Mukhairi dapat pujian Karsten
Mukhairi (kanan). Kredit foto Selangor FC

Hein Htet Aung dan Safuwan Baharudin

Kegagalan Malaysia sebaliknya membolehkan bintang-bintang asing menyerlah bagi Selangor di Piala AFF.

Hein Htet Aung misalnya dapat beraksi dalam keempat-empat perlawanan Kumpulan A Myanmar, walaupun mereka turut terkandas dalam saingan kumpulan. Empat ‘caps’ ini merupakan aksi pertamanya dalam peringkat senior antarabangsa, dengan pemain berusia 20 tahun ini paling menyerlah dalam kemenangan 2-0 ke atas Timor Leste, di mana dia terlibat dalam kedua-dua gol pasukannya. Agak mengagumkan, dia telah pun kembali untuk menjalani latihan pra-musim 2022 dengan Selangor.

Namun sudah pasti yang paling menyerlah adalah pemain utiliti, Safuwan Baharudin yang beraksi dengan pasukan tuan rumah Singapura. Beraksi sebagai ‘centreback’ Sang Singa, dia bermain dalam kesemua enam perlawanan mereka, sebelum terkandas di saingan separuh akhir dalam pertarungan epik dengan Indonesia, di mana dia memungut kad merah. Dia sempat mengutip satu gol, malah mencatakan penampilan keseratusnya buat Singapura dalam kejohanan kali ini.

Safuwan Baharudin disenaraikan Singapura
Safuwan. Kredit foto Selangor FC

Bonus: Evan Dimas

Tiada pemain Selangor semasa berada dalam saingan akhir di antara Indonesia dan Thailand, yang nampaknya akan dimenangi Sang Gajah setelah kemenangan selesa 4-0 dalam perlawanan pertama.

Namun skuad Garuda kali ini menampilan bekas pemain Selangor musim 2018, Evan Dimas Darmono yang kerap beraksi sebagai pemain gantian.

Aksi final kedua akan dimainkan pada malam ini, Sabtu, 1 Januari. Adakah akan ada kejutan dari pasukan yang hanya kerap menjadi ‘bridesmaid’, atau Thailand akan kekal mengungguli rantau Asia Tenggara?

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.