Selangor FC atasi Kelantan

Selangor atasi Kelantan dalam aksi persahabatan

Menjelang bermulanya musim 2022, Gergasi Merah kini giat menjalani aksi-aksi persahabatan pra-musim. Pada Ahad, 6 Februari mereka beraksi dalam sebuah lagi perlawanan, dengan Selangor FC atasi Kelantan FC dengan jaringan 3-1.

Kredit foto Selangor FC

Aksi di Stadium UiTM itu merupakan aksi pra-musim pertama 2022 Selangor yang dibuka kepada penonton, samaada di gelanggang ataupun penstriman langsung. Perlu dinyatakan yang harga tontonan agak ‘keras’, kehadiran di stadium memerlukan tiket berharga RM23 (termasuk kos tambahan) manakala tontonan dalam talian menelan belanja RM15.

Namun harga yang tinggi ini dibalas semula Gergasi Merah dengan aksi yang mengujakan dan kemenangan, biarpun ketiadaan beberapa pemain utama. Antaranya adalah pasangan bintang Jordan Baha’ Abdel-Rahman dan Yazan Al-Arab.

Walaupun kini di bawah kendalian pengarah sukan Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih pasukan utama, tabiat lama selalu bolos masih dilihat dan akibatnya Pahlawan Merah yang membuka jaringan terlebih dahulu menerusi jaringan Nurshamil Ghani pada minit ke-36, yang menyambut ‘through pass’ dengan baik sebelum menewaskan Khairulazhan Khalid.

Tetapi Selangor bangkit menerusi jaringan penyamaan cantik Shahrel Fikri sejurus sebelum separuh masa pertama tamat, apabila dia memusingkan badan di sempadan kotak penalti Kelantan sebelum melakukan sepakan yang melepasi jangkauan penjaga gol. Sudah pasti ini memberikan petanda baik yang penyerang Malaysia ini mahu bersaing dan tidak mahu ditenggelami duo Brazil yang baru didatangkan, Herlison Caion dan Hyuri Henrique.

Gol tadi memarakkan lagi keyakinan anak buah Michael dan mereka terus menguasai bahagian tengah padang, dan tidak seperti musim lalu, transisi ke menyerang mereka dilihat lebih pantas dan ada idea. Ini membawa kepada gol kedua sembilan minit selepas rehat. Kali ini peluang bintang import pula memberi keyakinan, apabila Hyuri pantas menyambar bola lantunan dalam kotak penalti sebelum menjolok masuk gol pendahuluan.

Pada minit ke-63 Quentin Cheng menunjukkan potensinya sebagai penjaring apabila menyambut baik hantaran Caion sebelum membenam gol terakhir Selangor malam itu.

Dalam separuh masa kedua banyak pertukaran dilakukan Michael bagi memberikan peluang kepada pemain-pemain lain seperti Jordan Ayimbila dan Syahir Bashah, dan kawalan di tengah padang sedikit kendur mengakibatkan kemunculan kembali satu lagi ‘penyakit’ musim lalu, ‘backpass’ terus kepada penjaga gol dari tengah padang. Namun taktik ini dilihat berjaya membantu Gergasi mengelak dari bolos lagi pada masa Kelantan mahu merapatkan kedudukan.

Perlawanan tamat dengan Selangor FC atasi Kelantan 3-1.

Perlawanan persahabatan seterusnya pasukan utama Selangor adalah menentang Perak FC di venue yang sama pada Jumaat, 11 Februari. Belum ada pengumuman rasmi samaada perlawanan ini akan dijalankan secara terbuka atau tertutup.

Sementara itu pada hari sebelumnya, pasukan simpanan Selangor tumpas 1-0 dalam perlawanan persahabatan yang dimainkan di Pusat Latihan FAS, Shah Alam.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.