Selangor FC dan GlobalSadaqah

Selangor perkukuh aspek tanggungjawab sosial melalui kerjasama GlobalSadaqah

Gergasi Merah memantapkan operasi tanggungjawab sosial mereka, setelah mengumumkan sebuah kerjasama dengan platform derma dan sumbangan, GlobalSadaqah. Kerjasama Selangor FC dan GlobalSadaqah ini disasar akan membantu program bantuan sosial kelab, iaitu Red Giants Care.

Kredit foto utama Selangor FC

Kelab-kelab bolasepak terkemuka dunia bukan hanya gah dari segi kutipan piala dan keuntungan mereka, tetapi juga dari segi sumbangan dan bantuan mereka kepada masyarakat setempat yang mereka wakili. Dilancarkan dalam bulan April tahun ini, Red Giants Care telah membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini melalui program-program sumbangan makanan, barangan keperluan dan dana.

Inisiatif sumbangan Gergasi Merah sekarang akan dibantu pula oleh GlobalSadaqah, sebuah syarikat teknologi kewangan yang bertapak di Malaysia. Di laman sesawang mereka, GlobalSadaqah menyifatkan operasi mereka sebagai platform pengurusan zakat dan wakaf bagi meningkatkan keberkesanan, kelestarian dan impak kewangan sosial.

“Ini adalah kolaborasi penting yang senada dengan komitmen GlobalSadaqah untuk bekerja dengan organisasi yang mempunyai objektif yang sama dalam menjalankan usaha kebajikan bagi masyarakat.

“Red Giants Care adalah simbol komitmen Selangor FC untuk memberikan sesuatu kembali kepada rakyat Selangor, dan kami berharap dengan kolaborasi ini, GlobalSadaqah juga dapat berbakti kepada masyarakat Selangor dengan lebih baik secara khusus dan kepada seluruh rakyat Malaysia secara amnya,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GlobalSadaqah, Ifran Tarmizi seperti yang dipetik dari laman sesawang kelab.

Selangor FC pula menyatakan bahawa GlobalSadaqah merupakan plaform yang tepat bagi memperkuatkan aspek sosial mereka.

“Matlamat kami adalah untuk dapat memberikan bantuan yang konsisten kepada mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik di sekitar Selangor, termasuk penyokong kelab yang kurang berkemampuan yang sering diabaikan terutama dalam industri sukan,” ujar Johan Kamal Hamidon, CEO Selangor FC.

“Kami juga berhasrat untuk menjadi platform pilihan kepada mereka yang ingin menyalurkan sumbangan, para sukarelawan dan pemegang taruh dalam menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan sambil melibatkan lebih banyak bahagian program dan aktiviti kesejahteraan masyarakat. Kami berharap kolaborasi baharu bersama GlobalSadaqah dapat membantu kami dalam mencapai matlamat jangka masa panjang kami.”

Sasaran kerjasama seterusnya Selangor FC dan GlobalSadaqah seterusnya, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media ini, adalah “sesi latihan bola sepak akar umbi percuma untuk anak-anak kurang berkemampuan di Selangor, mengadakan sesi pemerkasaan komuniti bola sepak tempatan, menjalankan aktiviti penjagaan alam sekitar, menawarkan pendidikan bola sepak percuma dan juga menawarkan program bola sepak untuk golongan sasar khas dan program-program komuniti yang lain.”

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.