Selangor FC dapat kelebihan

Selangor dapat kelebihan berdepan Perak di Ipoh

Menerusi satu siaran media yang dikeluarkan pada malam Rabu, 18 Oktober, dilihat Selangor FC dapat kelebihan bagi perlawanan menentang Perak FC bulan depan. Perlawanan ini adalah perlawanan terakhir Gergasi Merah dalam Kumpulan B Piala Malaysia, yang akan dilangsungkan di Stadium Perak, Ipoh pada 10 November.

Kredit foto Selangor FC

Menurut pengumuman yang dibuat pasukan Seladang, mereka telah berpisah secara persetujuan bersama dengan empat orang pemain asing. Mereka ini adalah Samir Ayass dari Lubnan, Zoubairou Garba (asal Cameroon, pasport Indonesia), Ghislain Guessan dari Ivory Coast dan Nana Poku dari Ghana.

Dilihat rekod musim ini, dari empat pemain-pemain ini, hanya Nana yang kerap bermain dengan pasukan utama Seladang, sejak menyertai mereka dari sebuah lagi pasukan Liga Super, UiTM FC pada jendela perpindahan kedua musim ini. Manakala yang lainnya merupakan anggota pasukan simpanan mereka di Liga Premier.

Walaupun dapat difahami yang tiga mereka mungkin meninggalkan pasukan kerana Perak II tiada perlawanan lagi musim ini akibat pembatalan Piala Cabaran, pemergian Nana dilihat menghairankan pada masa pasukan utama mereka masih terlibat dalam saingan Piala Malaysia edisi keseratus tahun. Malah pemain berusia 29 tahun ini dilihat merupakan salah seorang pemain yang membawa sengat kepada serangan pasukan Yeop.

Tahun 2021 juga merupakan tahun keseratus penubuhan Perak, tapi mereka tiada sambutan gilang gemilang. Sebaliknya, masalah kewangan dan pengurusan membawa kepada prestasi yang menghampakan, kehilangan pemain-pemain utama, dan lebih mengecewakan penyokong mereka, penyingkiran dari Liga Super buat kali pertama sejak permulaan liga ini.

Dari sisi pertembungan Selangor-Perak pula, walaupun ketiga-tiga pertemuan kedua-dua pasukan ini musim 2021 dimenangi Gergasi Merah, pertemuan terbaru mereka, dalam minggu pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia pada hujung bulan lalu hanya dimenangi Selangor menerusi kemenangan tipis 1-0. Anak-anak buah Karsten Neitzel dipaksa berhempas pulas di Stadium MBPJ oleh Nana dan rakan-rakan sepasukannya, dan hanya menemui gol kemenangan di penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti.

Sudah pasti ketiadaan pemain penyerang ini dalam pertemuan di Ipoh nanti bermakna Selangor FC dapat kelebihan bagi perlawanan kumpulan terakhir mereka. Dengan Gergasi dilihat berprestasi yo-yo dan dihimpit krisis kecederaan sepanjang musim, mungkin tidak mustahil dikatakan yang perlawanan ini nanti bakal menjadi situasi wajib menang bagi Karsten, untuk layak ke peringkat kalah mati.

Namun perlu dinyatakan yang Perak masih ada khidmat tiga orang lagi pemain import mereka, Ezequiel Agüero, Jad Noureddine dan Charlie Machell.

Follow laman Facebook kami untuk mendapatkan perkembangan terbaru Selangor FC dan bolasepak negeri Selangor

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.