Selangor lantik Dr Hazwan

Selangor di persimpangan setelah lalui satu lagi musim hambar

Tak sampai seminggu, sudah begitu banyak sekali yang telah berlaku kepada Gergasi Merah. Bermula dengan kekalahan 3-0 secara agregat dalam peringkat suku akhir Piala Malaysia kepada Kuala Lumpur City, kelab membuat keputusan-keputusan untuk melantik pengarah sukan Michael Feichtenbeiner sebagai ketua jurulatih pasukan utama, menurunkan pangkat Karsten Neitzel sebagai penolong jurulatih, malah melantik bekas jurulatih Felda United Nidzam Jamil sebagai seorang lagi penolong jurulatih. Melalui tindakan drastik ini, dapat dilihat yang seolah-olah Selangor FC di persimpangan dalam operasi mereka di bawah pengurusan semasa.

Kredit foto Selangor FC

Musim 2021 merupakan musim penuh ketiga Selangor di bawah pentadbiran presiden dan seterusnya pengerusi, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin, namun juara 33 kali Piala Malaysia ini masih belum dapat menghasilkan keputusan baik. Tempat ketiga Liga Super, pusingan ketiga Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia pada tahun 2019, tempat kelima liga dan suku akhir Piala Malaysia pada 2020 (tahun ini Piala FA batal dan Piala Malaysia dibatalkan selepas peringkat 16 terakhir dimainkan akibat Covid-19), manakala musim terbaru diakhiri di tangga kelima liga dan di suku akhir Piala Malaysia. Gergasi Merah tidak boleh dikatakan gagal, namun tidak memenuhi potensi mereka sejajar dengan usaha dan pembaharuan yang dibawa Tengku Amir.

Kini segala pembaharuan, perancangan dan pembinaan fasiliti yang dilakukan dengan niat menguruskan sebuah kelab bolasepak profesional yang moden, berisiko dilihat sia-sia oleh penyokong mereka sendiri disebabkan tiada hasil yang baik di atas padang. Pada masa yang sama, media sedang rancak memainkan naratif kegagalan Selangor, di samping cubaan-cubaan fitnah pihak berniat jahat.

Merah Kuning 24/7 diberitahu bahawa salah satu langkah penambahbaikan bagi memastikan pasukan utama dapat menterjemahkan aksi baik, di samping barisan kejurulatihan, adalah lembaga pengarah yang dahulunya enggan mencampuri barisan kejurulatihan dan skuad. Walaupun niatnya baik kerana tidak mahu mengganggu tugas barisan teknikal, akibatnya ada kerenggangan di antara pihak pengurusan dan pemain-pemain bilamana budaya bolasepak di negara ini mengehendaki hubungan rapat di antara pemain dan bos-bos mereka.

Bermula dari sekarang, ada pengarah-pengarah yang akan lebih mendekati skuad dan jurulatih, dan dapat dilihat yang salah seorang pengarah kelab iaitu Dato’ Sri Shahril Mokhtar telah mula memberikan kenyataan-kenyataan media yang ‘garang’ dan jujur. Lembaga pengarah berharap yang mereka akan dapat mengambil langkah mendekati pasukan utama tanpa mencampuri tugas barisan jurulatih.

Di samping itu, pengurusan kelab juga dikatakan akan melakukan perubahan dalam barisan perubatan mereka, setelah terlalu ramai pemain-pemain skuad yang tercedera musim ini.

Namun segala yang dikatakan ini tidak bermakna bahawa ‘DNA Selangor’ yang dirangka Michael sebagai pengarah sukan bakal tidak relevan. “Jika Michael meninggalkan kelab di masa hadapan sekalipun kami masih akan menuruti perancangan kerana kami masih percayakan kepada falsafah DNA Selangor.”

Barisan pemain bagi musim 2022 juga sedang dipersiapkan dengan kemasukan bintang-bintang baru dan perpindahan pemain-pemain semasa, sedang kini Selangor FC di persimpangan dalam merencanakan masa depan mereka. Menurut pengurusan tertinggi kelab, mereka juga sedar dengan realiti tanggungjawab mereka.

“Kami teruja dengan musim akan datang kerana kami tahu yang pasukan akan dapat memberikan persembahan yang lebih baik menerusi perubahan-perubahan drastik yang dilakukan. Tetapi jika masih gagal, kami juga tahu yang ia adalah salah kami, dan kami akan menilai keberkesanan sendiri di peringkat pengurusan.”

Ingin bantu kami bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.