Selangor FC jadi mangsa

FAM tak tentu hala, Selangor jadi mangsa

Walaupun penyokong Gergasi Merah sudah pasti kekal setia bersama pasukan menjelang musim baru, boleh dikatakan minat terhadap pasukan-pasukan kebangsaan Malaysia kini berada di tahap amat rendah sejak tahun lalu. Paling terbaru, masalah di peringkat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyebabkan Selangor FC jadi mangsa dan terpaksa berkorban.

Kredit foto FAM

Pada Rabu, 9 Februari FAM diumumkan yang empat pemain muda Selangor, penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan tiga pemain pertahanan, Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar, telah menyertai kem persiapan Harimau Muda di bawah kendalian Brad Maloney sebagai pemain gantian untuk Kejuaraan B-23 AFF 2022, yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari.

Mungkin ini sebabnya keempat-empat mereka ini dipanggil.

Kecuali jangkitan Covid-19, tidak diketahui mengapa pemain-pemain lain dipulangkan kepada kelab mereka. Keputusan-keputusan seperti inilah yang mengakibatkan Harimau Malaya merudum dalam dua tahun lalu, yang membawa kepada persembahan mengecewakan dalam Piala AFF 2020 Disember lalu dan kritikan-kritikan semasa terhadap pengurusan FAM.

Kami di Merah Kuning 24/7 tidak terlalu berminat untuk mengulas mengenai bolasepak Malaysia umum apabila ia dilihat tiada niat mahu berubah, tetapi kami terpanggil bersuara apabila Selangor FC jadi mangsa, sekali lagi.

Sejak tahun lalu FAM terlalu takut-takut dalam pemilihan pemain ke pasukan-pasukan kebangsaan seolah-olah diganggu ‘tangan ghaib’, akhirnya prestasi menjadi caca marba seperti dalam Piala AFF tahun lalu, dan dalam isu terkini, menyusahkan pihak lain.

Izhan, Zikri, Azrin dan Harith merupakan pemain muda, tetapi mereka sudah dinaikkan ke pasukan utama secara rasmi dan ada peranan sekurang-kurangnya sebagai pemain ‘back-up’. Walaupun Liga Super Malaysia belum bermula, persiapan pra-musim Selangor sedang berjalan dan sudah pasti keempat-empat pemain ini juga perlu menjalaninya.

Dan perlu juga dinyatakan yang Kejuaraan B-23 AFF ini bukanlah kejohanan utama Malaysia B-23 tahun ini, apabila mereka masih ada peringkat akhir Piala AFC B-23 dan Sukan Asia. Ada baiknya Brad sekadar bawa pemain-pemain ‘fringe’ atau lebih muda untuk beri pendedahan.

Perlu juga dipersoalkan pengurusan kelab yang acap kali bersikap ‘Mr. Nice Guy’ dan mengorbankan kepentingan sendiri, dalam satu situasi di mana kelab tidak pun diwajibkan melepaskan pemain. Kalau nak bantu pihak lain, bantulah mereka yang mahu membantu diri sendiri dahulu, atau akibatnya kita hanya akan menyusahkan diri sendiri.

Kepada Izhan, Zikri, Azrin dan Harith, buatlah yang terbaik dan jangan kecil hati dan ‘take personally’ kalau penyokong tak begitu mengikuti aksi Harimau Muda nanti. Disebabkan pentadbiran tak tentu hala FAM, aktiviti menonton perlawanan pasukan-pasukan kebangsaan Malaysia kini boleh diibaratkan membuang masa.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.