Selangor lantik Dr Hazwan

Selangor lancarkan koleksi NFT dan saluran Discord

Zaman penswastaan liga Malaysia kini memerlukan kelab-kelab di negara ini untuk lebih berdikari dari segi kewangan. Gergasi Merah juga sama, setelah berada di bawah pimpinan DYTM Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor. Selain dari penghasilan produk-produk fizikal yang dijual kepada penyokong-penyokong dan pengumpul, kini kelab masuk ke era baru, produk digital. Pada Ahad, 12 Disember, Selangor FC lancarkan koleksi NFT, atau ‘non-fungible tokens’ mereka sendiri.

Kredit foto Selangor FC

NFT merupakan unit data yang disimpan pada lejar digital, yakni blok rantai, yang mengesahkan aset digital unik lalu tidak boleh ditukar ganti dengan barangan lain. Pada zaman ini, ia kerap diterjemahkan kepada bentuk grafik, yang boleh dimiliki pembeli-pembeli.

Selangor telah melancarkan 10 NFT di platform pentas.io dan satu di platform Opensea, dengan produk di Opensea bertemakan ulangtahun ke-85 kelab tahun ini. Menurut pemeriksaan Merah Kuning 24/7 pada Isnin, sekurang-kurangnya tujuh NFT ini telah dibeli.

Kelab juga dilihat serius mahu membabitkan diri dalam lapangan NFT. Laman sesawang rasmi Selangor kini menampilkan ‘tab‘ khusus untuk produk Red Giants Non-Fungible Collections (RGNFC) ini, di mana mereka mengumumkan yang pembeli-pembeli NFT layak mendapat beberapa kelebihan seperti aktiviti-aktiviti digutal, acara-acara rasmi digital, undian digital dan juga barangan eksklusif.

“Kita akan maju jika kita meneroka kemungkinan baharu, dan dunia digital sarat dengan idea baharu yang memberikan kita banyak peluang. Sebagai sebuah kelab bola sepak, kami melihat NFT sebagai masa depan dalam bidang pengumpulan barangan sukan dan memorabilia peminat.

“Pelancaran NFT Selangor FC yang pertama dalam sejarah kelab adalah langkah seterusnya untuk menandakan kehadiran kami dalam ruangan digital. Ini adalah masa depan dan kami mahu menghubungkan pemain ke-12 kami dengan legasi Selangor,” jelas Tengku Amir pendek dalam pengenalan produk.

Beberapa kelab bolasepak terkemuka dunia seperti Manchester City, Juventus dan Barcelona telah pun melancarkan produk NFT mereka, dan dipercayai bahawa Selangor merupakan kelab pertama yang melakukannya di Malaysia, dan mungkin juga di rantau Asia Tenggara.

Dilihat yang NFT-NFT Selangor ini telah dibeli dengan harga 0.5 Binance Coin setiap satu, ataupun lebih kurang RM1,200. Malah seorang pembeli ini mahu menjual semula pembeliannya dengan harga 88 Binance Coin setiap satu, ataupun lebih RM200 ribu.

Selain Selangor FC lancarkan koleksi NFT, pada hari yang sama turut dilancarkan ‘komuniti’ Discord rasmi Selangor, saluran di mana penyokong-penyokong Gergasi Merah boleh berhubung dan berbual dalam talian mengenai kelab dan juga bolasepak Malaysia. ‘Server’ Selangor FC kini telah disertai hampir 800 orang ahli.

Menurut pengumuman ini, lebih banyak kegiatan-kegiatan digital akan dilancarkan pada tahun hadapan bagi pemilik-pemilik Red Giants Non-Fungible Collections.

Ingin bantu Merah Kuning 24/7 bawakan lebih banyak kandungan dan berita terbaru Selangor FC? Ini caranya.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.