Penyerang Selangor pemenang kasut emas liga

Selangor lubuk penyerang unggul, tapi dikecewakan kebocoran

Tahniah diucapkan buat penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang baru-baru ini merangkul anugerah kasut emas Liga Super musim 2021. Ini merupakan kali kedua berturut-turut pemain kelahiran Nigeria ini memenangi anugerah ini, bahkan 26 jaringannya musim ini menjadikan Ifedayo pemain dengan jaringan terbanyak semusim dalam sejarah Liga Super.

Kredit foto utama Selangor FC, MFL, Goal

Malah jika dilihat, tiga tahun sebelum itu, seorang lagi penyerang Selangor turut memenangi kasut emas musim itu, iaitu pengebom dari Sepanyol Rufino Segovia, dengan 19 gol. Undur ke belakang empat tahun lagi ke 2014, Paulo Rangel melakukan pencapaian yang sama dengan 16 gol.

Nyata sekali, pencarian bakat serangan import kelab ini baik sebenarnya, setelah berjaya membawa masuk tiga penyerang prolifik yang mengumpulkan sejumlah empat kasut emas dalam tempoh sedekad lalu.

Namun jika dilihat pula pencapaian kelab dalam liga, ia tidak sejajar dengan kejayaan-kejayaan individu ini. Di sebalik kasut emas berturut-turut Ifedayo, dalam kedua-dua musim ini Gergasi Merah hanya berada di tangga kelima. Pada 2018 di tangga kelapan dengan jumlah keseluruhan gol bolos 39, lebih banyak dari gol dijaringkan iaitu 35.

Jika dilihat pada musim di mana penyerang Selangor tidak memenangi kasut emas, 2019 misalnya, Selangor yang menamatkan saingan di tempat ketiga menjaringkan 41 gol, kutipan kedua terbanyak musim itu, tetapi melepaskan 35 jaringan.

Sudah pasti jika dikaji rekod-rekod jaringan semusim ini, rasa ralat timbul apabila ia tidak diterjemahkan kepada kedudukan liga yang lebih baik, apatah lagi kejuaraan, disebabkan kegagalan mengelakkan gawang sendiri dari dibolosi. Dalam dua, tiga musim kebelakangan ini secara khususnya, skuad Merah Kuning dilihat culas untuk mengekalkan ‘clean sheet’. Hanya empat kali dalam liga musim ini, dua kali musim lalu (dari hanya 11 perlawanan) dan dua kali juga musim 2019.

Sukar untuk diperkatakan sebenarnya sama ada masalah kerap bocor ini berpunca dari barisan pertahanan atau penjaga gol, (atau mungkin juga dari pemain-pemain ‘midfield’ yang tak ikut turun ke bawah bertahan?) tetapi masalah ini harus dikenalpasti dan seterusnya diatasi barisan kejurulatihan. Apatah lagi pada musim ini, penjaga gol utama Selangor Khairulazhan Khalid merupakan penjaga gol Malaysia, manakala barisan pertahanan terdiri dari import dari Jerman Tim Heubach, pemain kebangsaan Singapura Safuwan Baharudin dan seorang lagi pemain Malaysia Syahmi Safari. Sukar difahami mana datangnya ketirisan ini.

Kita mengharapkan barisan pertahanan sedia ada ini dapat digilap supaya lebih berdisiplin dan utuh, manakala pertahanan baru yang mungkin didatangkan musim depan adalah pemain-pemain yang memiliki kualiti tak mudah goyang. Jika masalah ini dapat diselesaikan, pastinya Merah Kuning pasti dapat kembali menjadi pencabar trofi.

Previous Article
Next Article

Leave a Reply

Your email address will not be published.